Friday, May 20, 2011

PAS Perlu Jadi Pilihan Orang Melayu

Parit Buntar – Orang Melayu di dalam negara ini tidak perlu bimbang dengan kerenah media arus perdana yang menyatakan hanya UMNO sahaja yang boleh memerintah bagi mempertahankan bangsa Melayu.



Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, rakyat kini sering ditakutkan melalui media bahawa sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah maka orang-orang Melayu akan terpinggir dan akan ditindas oleh bangsa lain di dalam negara sendiri.



“Rakyat khususnya orang-orang Melayu harus sedar dengan permainan politik UMNO yang semakin dikikis sokongan dan PAS merupakan alternatif yang mesti dipilih oleh orang-orang Melayu bagi menjadikan bangsa Melayu terus diperkasakan.”



“UMNO sengaja memainkan isu ini di media kerana mereka sudah banyak hilang kepercayaan daripada rakyat malah termasuklah daripada rakan parti komponen dalam Barisan Nasional khususnya MCA dan Gerakan.



Ada juga di kalangan ahli UMNO juga sudah bosan dengan sikap pimpinan mereka yang masih lagi mengejar kemewahan dan menambah kantung kroni sebaliknya ahli di cawangan dan bahagian hanya menikmati saguhati kain dan wang tunai untuk hadir mesyuarat dan kempen semasa pilihanraya. Sokongan UMNO hanya tinggal pada mereka yang ada kepentingan habuan projek. Yang lain hanya mengikut tanpa arah tujuan melainkan disogok dengan berita di media ” katanya lagi.



“Harus diingat, PAS juga merupakan parti yang majoritinya orang-orang Melayu. Penyertaan PAS dalam PR bersama DAP dan PKR harus dilihat bahawa PAS mewakili orang-orang Melayu. Sama seperti UMNO yang mewakili orang-orang Melayu bekerjasama dengan MCA, MIC dan Gerakan dalam Barisan Nasional. Bezanya, PAS menjadikan Islam sebagai tunjang utama berbanding UMNO tunjangnya semangat kebangsaan.”



Rakyat sudah pasti boleh melihat perbezaan antara golongan Melayu yang memperjuangkan agama dan golongan Melayu yang memperjuangkan bangsa. Justeru orang-orang Melayu tidak perlu khuatir seandainya memilih PAS sebagai ganti kepada UMNO. Saya yakin orang-orang Melayu boleh berubah dengan meninggalkan UMNO yang sudah lebih 50 tahun memerintah.


Justeru itu bagi memperkasakan Melayu, PAS perlu jadi pilihan dalam Pilihanraya Umum Ke13 (PRU13). Tiada sebab orang-orang Melayu akan terpinggir dan diabaikan sekiranya PR memerintah. UMNO sering mainkan isu bahawa orang Cina di bawah DAP akan mengambil alih pemerintahan negara dengan menidakkan orang Melayu. Untuk makluman semua, bagaimana DAP nak mengambil alih pemerintahan negara sedangkan mereka bertanding dalam PRU12 yang lalu hanya 46 kerusi berbanding PAS dengan 67. Begitu juga dengan PKR yang meletakkan 94 calon yang majoritinya Melayu.

Oleh itu bagi mengelakkan sebarang kebimbangan orang Melayu, mereka boleh memenangkan semua kerusi yang PAS tandingi dan calon Melayu PKR. Paling penting PAS diyakini akan menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat khususnya untuk meneruskan survival orang Melayu sepertimana orang Melayu terus terbela di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sekarang ini.

No comments:

Post a Comment