Thursday, December 30, 2010

Sumbangan Buat Pelajar di Tahun Baru 2011

Parit Buntar - "Anak-anak merupakan generasi akan datang yang bakal memimpin negara, oleh itu jangan jadikan anak-anak kita manusia yang tiada maruah menggadaikan prinsip agama dan negara." ujar Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dalam ucapan bersempena majlis sumbangan untuk pelajar sekolah di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain, Titi Serong di sini.

Beliau menyatakan untuk menjadi manusia yang bermaruah perlu ada ikhlas dan tidak berpura-pura dalam menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat. Dr Mujahid turut menyebut, walaupun beliau selaku ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang dinafikan hak menerima peruntukan RM 1 juta setahun oleh kerajaan Barisan Nasional, namun ia bukan alasan supaya beliau dan PAS Parit Buntar tidak berusaha untuk tampil menghulurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

'Semua orang hendak anak mereka jadi pandai, semua orang hendak anak mereka berjaya, namun begitu apa gunanya berjaya dalam pelajaran, kerjaya dan mentadbir sekiranya hidup tidak bermaruah, menerima rasuah, jahil dalam beragama, menggunakan kepandaian untuk menjahanamkan rakyat dan negara. Oleh itu jadilah insan yang baik dalam pelajaran dan baik dalam beragama supaya generasi akan datang terpelihara survival hidup mereka." kata Mujahid

Turut hadir di dalam majlis yang sama adalah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husain yang turut memberikan ucapan serta tazkirah kepada tetamu yang hadir. Beliau menyatakan ibubapa perlu bertegas dalam soal beragama dalam mendidik anak-anak. Apa yang menjadi kesan kini apabila anak-anak tidak didedahkan dengan ilmu agama, maka banyaklah perkara-perkara negatif berlaku. Isu anak terbabit dadah, seks bebas, buang bayi dan sebagainya merupakan kegagalan ibubapa menerapkan nilai Islam dalam hidup. Jangan kita mengharapkan pendidikan di sekolah semata-mata, akan tetapi ibubapa berperanan sepenuhnya pada anak-anak.

Beliau memuji PAS Parit Buntar dan Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar yang bertungkus lumus berusaha membantu memberikan sumbangan untuk persekolahan murid-murid miskin walaupun tiada peruntukan. "Insya Allah apabila Pakatan Rakyat memerintah kembali Perak, kita akan terus membantu dengan lebih meluas kepada anak-anak pelajar yang miskin ini," tambahnya. Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Harun Hashim dan Naib Yang Dipertua, Ahmad Azhar Sharin.

Dr. Mujahid Ahli Parlimen Parit Buntar memberi ucapan

Antara Ibubapa dan pelajar yang hadir menerima sumbangan


Dr. Mujahid menyampaikan sumbangan

Ust. Abu Bakar Hussin Pesuruhjaya PAS Perak menyampaikan sumbangan kepada pelajar.

Pertemuan Pemuda PAS Perak dan Pemuda PAS Penang

Larut 26 Dis 2010 - Bertempat di Lata Mat Sabu Larut Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang hari ini telah menganjurkan Tamrin Qiadi peringkat DPPNPP. Program yang bemula 25 dan berakhir 26 Disember ini dipenuhi dengan pengisian jasmaniah tidak ketinggalan kerohanian dan pentarbiahan. Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, seramai lebih kurang 50 kepimpinan pemuda peringkat Negeri dan kawasan yang hadir pada program tersebut.

Dalam pada itu rombongan exco Pemuda PAS Perak memeriahkan lagi program tersebut. Kehadiran seramai enam orang exco yang diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Perak Ustaz Zawawi disambut dengan dengan penuh ukhwah oleh peserta dan kepimpinan DPPNPP. Dalam pertemuan singkat ini, Sewan Pemuda PAS Pulau Pinang memberi penerangan program yang dianjurkan dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kebenaran menggunakan tempat tersebut yang terletak di Negeri Perak. Selain itu DPPNPP juga berkongsi maklumat dan pengalaman di negeri Pulau Pinang.

Pemuda PAS Perak yang diketuai oleh Ustaz Zawawi turut mengucapkan selamat datang kepada DPPNPP serta perserta program. DPPNPk, mengalu-alukan kehadiran dan penggunaaan tempat ini yang di kenali sebagai Lata Mat Sabu. Menurut beliau DPPNPk juga pernah mengadakan tamrin di tapak yang sama pada tahun 2007 yang lalu. Beliau menyarankan agar kembara dilakukan diwatu malam seoerti yang pernah Pemuda PAS perak buat dahulu.

Sebelum bertolak pulang exco Pemuda PAS Perak bersama-sama peserta dan kepimpinan DPPNPP menjamu selera dengan juadah yang telah disediakan oleh penganjur. Diharapkan hubungan mesra ini dapat terus dijalinkan demi kemenangan Islam di Malaysia.

Peserta Tamrin Qiadi DPPNPP

Ucapan KP DPPNPk dan Tim.KP DPPNPP

Rombongan Exco DPPNPk

Pelancaran Perak Care

25 Disember 2010 (TAIPING) - Usaha bagi membantu masyarakat yang memerlukan dan bertemakan kebajikan, badan amal 'Perak Care' ditubuhkan baru-baru ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Haji Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras yang penuh meriah. Turut di lancarkan adalah laman web rasmi Perak Care bagi memudahkan mereka-meraka yang prihatin menyalurkan sumbangan (wix.com/perak_care/amal).

Salman yang juga Pengerusi Perak Care berharap badan amal seumpama ini dapat membantu mana-mana pihak yang amat memerlukan tidak mengira sesiapa pun. Beliau juga berharap pihak-pihak yang ingin menyumbang agar dapat terus menyalurkannya dalam bentuk kewangan.

"Perak Care adalah medan yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi menyalurkan bantuan, semua pihak boleh melayari laman web kami bagi melihat lebih dekat apa yang kami lakukan" Salman menyatakan semasa majlis pelancaran tersebut.

Haji Azmi di dalam ucapannya berharap Perak Care sebagai satu pentas bagi golongan muda bagi menabur bakti kepada masyarakat. Biar orang muda sebagai contoh atau tauladan yang baik kepada masyarakat kata Haji Azmi.


Haji Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras melancarkan Perak Care

Ketua Pemuda PAS Perak dan Pengerusi Perak Care menyarungkan baju kepada Presiden Teras

Wednesday, December 29, 2010

AES bakal tambah jumlah saman


PARIT BUNTAR, 28 Dis. : Tindakan kerajaan memperkenalkan bentuk saman ekor baru dengan penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikendalikan oleh syarikat swasta dilihat hanya akan menambahkan jumlah saman yang dikeluarkan.

Penolong Setiausaha PAS Kawasan Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, AES adalah sistem penggunaan kamera yang akan mengambil gambar kenderaan melakukan kesalahan, memprosesnya, kemudian mengeluarkan dan menghantar saman kepada pesalah trafik.

Menurutnya, syarikat swasta akan mendapat habuan daripada jumlah saman yang dikeluarkan.

“Tentunya syarikat swasta ini mementingkan keuntungan jadi saman mesti ada jika tidak, mereka akan mengalami kerugian.

“Tambahan pula ia bukan dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan atau polis, mesin, kamera dan semuanya akan disediakan oleh syarikat swasta yang dilantik,” katanya.

Adnan berkata, kerajaan telah memberikan kontrak pengendalian AES kepada Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd sebelum pindaan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 diluluskan.

“Pindaan undang-undang belum pun lulus, kerajaan sudah memberikan kontrak kepada syarikat swasta.

“Maksudnya, pengurusan kerajaan tidak mengkaji kesan jangka panjang sebaliknya membuat sesuatu perancangan secara terburu-buru,” katanya.

Katanya, rakyat sudah terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, apabila saman diswastakan ia satu tindakan menambahkan beban rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad menyokong usaha Pakatan Rakyat menghantar memorandum memohon Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menangguhkan kelulusan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang diluluskan Dewan Negara baru-baru ini.

Menurutnya, memorandum itu adalah jalan terakhir setelah usaha Pakatan Rakyat menghalang kelulusan rang undang-undang berkenaan tidak berhasil.

“Tiada jalan lain lagi, jalan terakhir dengan memohon kepada Tuanku menitahkan rang undang-undang ini dibahaskan semula di Parlimen kerana ia dibuat secara tergesa-gesa,” katanya

Katanya, tindakan kerajaan itu sebagai pengkhianatan kepada rakyat kerana pemimpin BN hanya memikirkan kepentingan mereka dan menguntungkan sesetengah pihak.

“Pindaan ini tidak akan menyelesaikan masalah berbangkit seperti kemalangan maut yang semakin meningkat, masalah senarai hitam pemilik kenderaan dan juga saman ekor.

“Jelas, pindaan terhadap undang-undang ini hanya bersifat teknikal dan bertujuan memperkenalkan AES,” katanya.Sinar Harian

Tuesday, December 28, 2010

Imbuhan khas guru tidak mufliskan negara


http://pemudapasperak.com/v1/plugins/content/contentoptimizer/9f7ffb3ad2b28aa6b43bc982662cb8f5128070f8_162x121_Q65.jpegPARIT BUNTAR, 26 Dis. : Janji Pakatan Rakyat memberi inisiatif imbuhan khas pendidik bulanan sebanyak RM500 sangat dialu-alukan.

Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata , inisiatif ini tidak akan menyebabkan negara muflis sebagaimana didakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Inisiatif itu akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun dan jumlah itu adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran yang kini berleluasa di bawah kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

“ Jumlah ini kecil dibandingkan subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun” katanya

Beliau berkata, imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar Hairul Nizam Ishak (gambar )menyokong usaha Pakatan Rakyat melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara termasuk bidang pendidikan.

“ Persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul.

“ Pakatan Rakyat tentunya telah meneliti kesan kewangan akibat pelaksanaan imbuhan khas pendidik bulanan itu” katanya

Beliau berkata, kenyataan negara akan muflis jika imbuhan itu diberikan kepada guru membuktikan Umno-BN tidak meletakkan kepentingan mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

“ Lebih RM 4.4 juta boleh dibelanjakan untuk program 3 hari Persidangan Wanita Pertama yang dipengerusikan oleh isteri perdana menteri, Rosmah Mansor .

“ Menara 100 tingkat PNB yang dibantah rakyat, menelan belanja RM 5 bilion boleh diluluskan. RM 3.2 bilion untuk imbuhan guru tak boleh” katanya

Sunday, December 26, 2010

Kesal kerajaan lepas tangan


http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/IMG_1467-1.jpg?t=1290752572PARIT BUNTAR, 24 Dis. : PAS Parit Buntar kesal dengan sikap kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan [ KPDNKK ] yang berlepas tangan dengan menyatakan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini rentetan harganya meningkat di pasaran dunia.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, kenaikan harga susu ini akan menambah derita rakyat dan memberi tekanan berterusan dengan kenaikan harga barang lain sebelum ini.

“ PAS Parit Buntar membantah kenaikan harga untuk susu tin 400 gm dan 500 gm ini kerana kesannya diterima oleh rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah.

“ Pada bulan April lalu harga susu telah naik 5 sen, kemudian susu dinaikkan lagi 10 sen pada Oktober lepas. Mulai 1 Januari depan harga tersebut meningkat sebanyak 30 sen lagi”katanya

Fakhrurrazi berkata, sebelum ini rakyat dibebankan dengan harga minyak yang menerima kenaikan sebanyak 4 kali dalam tahun 2010.

“ Itu sahaja sudah cukup membebankan rakyat, dan kini asakan tersebut sekali lagi diteruskan dengan peningkatan harga susu pula.

“ Percayalah harga minuman juga akan naik awal tahun depan ekoran kenaikan harga susu. Ia adalah reaksi berantai berikutan kenaikan harga bagi lain-lain barangan” katanya

Menurutnya, helah kerajaan terhadap rakyat berikutan kenaikan harga susu dengan menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk menghalang kenaikan harga bahan mentah tersebut merupakan alasan untuk menutup isu sebenar iaitu BN hilang kredibiliti memerintah negara.

“ Susu mentah keluaran tempatan tidak diurus dan dikendali dengan baik oleh kerajaan, Kerajaan terlalu bergantung kepada susu mentah yang diimport menyebabkan produk tenusu tempatan tidak mampu menampung keperluan rakyat.

“ Sekarang terbukti BN memang sudah hilang upaya memerintah negara. Rakyat sepatutnya melihat isu ini dari perspektif kemampuan jangka masa pendek dan jangka masa panjang BN yang sudah tidak kemampuan mentadbir “katanya

Monday, December 13, 2010

Hapuskan undi pos, bukan tambah


http://t3.gstatic.com/images?q=tbn:bQ3rZf2md5cNWM:http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/Image037-3.jpg&biw=1280&bih=598PARIT BUNTAR , 10 Dis. : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar membantah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos.

Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, sistem undi pos terhadap golongan profesional terbabit bakal menutup ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.

Menurutnya, pihak tertentu akan mengambil kesempatan menerusi peruntukan undi pos itu khususnya dalam pilihan raya bagi mengekalkan kemenangan parti mereka.

“Apakah jaminan SPR agar ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas, telah diundi oleh pihak atasan mereka,” katanya.

Adnan berkata, sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat, malangnya kini ia ditambah, seolah-olah terdapat agenda di sebalik penambahan berkenaan.

“Tidak perlu ada lagi undi pos kerana pengundi ini boleh mengundi awal atau apa alasan sebenarnya masih diwujudkan undi pos itu.

“Sepatutnya undi pos dihapuskan kerana masih ada kaedah lain yang lebih telus dan demokratik,” katanya.

Katanya, beliau mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan itu sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau, Abdul Bahrain Desa (gambar ) berkata, perkembangan terbaru mendedahkan bahawa SPR menukar status pengundi awam terhadap isteri anggota tentera dan polis kepada pengundi pos.

“Ada bukti isteri anggota ini tidak memohon untuk menukar status itu tetapi SPR bertindak menukar status berkenaan.

“Terbaru anak-anak polis juga diminta mendaftar untuk dijadikan pengundi pos,” katanya.

Bahrain berkata, tindakan SPR itu dilihat seolah-olah menyambung ‘talian hayat’ UMNO dalam usaha mendominasi pemerintahan dengan memperkemaskan undi pos.

“Perkara ini dilakukan setelah mereka gagal mengharapkan undi dari kaum Cina dan India.

“Sekarang mereka menggunakan tongkat dan ‘talian hayat’ yang masih ada kepada mereka iaitu undi pos,” katanya.

Katanya, Pakatan Rakyat telah mengingatkan berulang kali bahawa Malaysia sebuah negara yang merdeka, sepatutnya tiada lagi undi pos, bahkan dihapuskan terus.
Sinar Harian

Sunday, December 12, 2010

Pemuda PAS Terus Prihatin Kebajikan Rakyat

Osman menerima bantuan kerusi roda daripada rombongan PAS.


Parit Buntar - Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar terus menjalankan aktiviti kebajikannya apabila baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan. Menurut Ketua Penerangannya, Hairul Nizam Ishak siri jelajah pemuda PAS Parit Buntar sebelum ini telah menemukan kami dengan masyarakat yang amat memerlukan bantuan.

Maklumat yang diperoleh daripada program jelajah tersebut kami proses untuk membantu mereka yang amat memerlukan bantuan. Baru-baru ini pemuda PAS telah menyampaikan sumbangan kepada ahli Unit Amal yang banyak membantu menggerakkan program-program PAS serta membantu masyarakat sekitar Parit Buntar. Ada dikalangan ahli Unit Amal ini sanggup membantu mereka yang berada dalam kesusahan sedangkan mereka juga sebenarnya amat memerlukan bantuan.

Hari ini kita berpeluang menyampaikan sumbangan kerusi roda dan barangan keperluan dapur kepada Osman Mohd Rayani,57 tahun dari Simpang Empat, Kampung Kedah. Beliau telah diserang angin ahmar sejak enam bulan lalu dan tidak mampu untuk bergerak. Beliau yang bekerja sebagai tukang kebun Sekolah Kebangsaan Sungai Setar terpaksa bercuti kerana tidak mampu bekerja. Kini beliau dijaga oleh isterinya Norida Ahmad dan tinggal bersama empat orang anak dan seorang adik yang cacat.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Harun Hashim. Turut sama dalam penyerahan tersebut adalah Ketua Pemuda, Khairulzami Mohamad, Pengerusi Lujnah Kebajikan Pemuda Noraidi Mat Isa serta AJK PAS Cawangan Simpang Empat Kampung Kedah, Ustaz Hasan Yusof.


Hairul Nizam menyampaikan sumbangan kepada ahli unit amal


Ketua Laj. Kebajikan DPPK Sdr. Noraidi menyampaikan sumbangan


Ketua Pemuda sedang bertanya khabar kepada warga emas yang uzur


Naib YDP Sdr. Azhar Sharin (kiri) menyampaikan sumbangan

Friday, December 10, 2010

Presiden PAS terima kunjungan orang Tionghua Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 7 Dis. : Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang meraikan 40 orang ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Parit Buntar yang telah mengunjungi kediaman beliau di Rusila, Terengganu. Semua ahli rombongan telah makan pagi dan beramah mesra dengan Presiden PAS di kediaman beliau.

Ketua rombongan Hamdan Fadel Ahmad berkata, kunjungan muhibbah tersebut disertai orang Tionghua Parit Buntar dalam rangka lawatan dua hari ke Terengganu dan Kelantan.

“ Orang-orang Tionghua dari Parit Buntar ini sendiri yang mahu datang ke rumah Tuan Guru untuk bertemu dengan beliau.

“ Mereka gembira kerana Tuan Guru sanggup meluangkan masa melayani mereka , malah dapat makan pagi di dalam rumah Presiden PAS” katanya yang juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar

Hamdan berkata, peserta rombongan juga telah mendapat penerangan berkenaan aktiviti PAS Terengganu yang disampaikan oleh Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar ADUN Ladang di Dewan Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu.

“ Kami mengucapkan terima kasih kepada PAS Terengganu yang menyediakan jadual program sehari kami di Terengganu.

“ Orang-orang Tionghua Parit Buntar dapat merasa sendiri masakan orang Terengganu yang disediakan oleh PAS kawasan Marang kerana hampir kesemua peserta rombongan tidak pernah sampai ke Terengganu,” katanya

Tambahnya, rombongan seterusnya berkunjung ke Kelantan mengikuti sesi dialog oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10.

“ Rombongan juga mengunjungi beberapa tempat menarik di Kelantan seperti rumah-rumah ibadat di Tumpat, Rantau Panjang dan sekitar Kota Bharu.

“ Kami juga mendapat penerangan mengenai aktiviti PAS Kelantan yang disampaikan Ahli Parlimen Pasir Putih Muhammad Husin” katanya

AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar Teoh Bak Chua yang turut menyertai rombongan berkata, pertemuan dengan Presiden PAS ini telah menyangkal tuduhan dalam media bahawa beliau seorang yang keras.

“ Apabila datang sini, dia sambut kami dengan mesra, makan bersama kami. Langsung tak kekok, kami yang kekok. Media banyak bawa cerita tipu buruk-burukkan Presiden PAS.

“ Kami dapat mengenali lebih dekat tentang kehidupan Presiden PAS. Sukar nak percaya, rumah Presiden PAS sangat sederhana macam rumah orang kampung lain” katanya


Tuan Guru memeluk mesra anak seorang Tionghua Parit Buntar yang melawat beliau di Rusila

Cenderahati kepada Tuan Guru

Bersama ADUN Ladang Dato' Tengku Hasan di Kuala Terengganu

Wednesday, December 8, 2010

Kesal tindakan polis

A  man is pinned down by police during a demonstration in Kuala Lumpur  December 5, 2010. Malaysian police on Sunday fired tear gas and water  cannons at some 2,000 opposition-led protesters trying to hand over a  memorandum on the state of Selangor water tariffs issues to the National  Palace, as reported by Malaysia's daily The Star online.PARIT BUNTAR, 7 Dis. : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar di sini, kesal dengan tindakan polis semasa menyuraikan perhimpunan ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’ di Masjid Negara.

Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, perhimpunan yang sepatutnya berlangsung dengan aman bertukar menjadi kecoh akibat tindakan polis menyembur gas pemedih mata dan memancutkan air berasid kepada orang ramai.

Menurutnya, perhimpunan itu adalah hak rakyat dan selaras dengan perlembagaan untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Polis sepatutnya mengawal himpunan ini supaya berjalan dengan lancar, bukan bertindak ganas terhadap orang yang berhimpun,” Katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Adnan berkata, tindakan pihak polis itu jelas menunjukkan kegagalan mereka dalam meyakinkan orang ramai bahawa tugas menjaga keamanan seharusnya mengikut rasional tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

“Perhimpunan aman ini sepatutnya tidak diganggu. Ia suara rakyat Selangor menuntut hak mereka, tidak sepatutnya mereka dipukul dan ditangkap oleh polis.

“Jelas sekali tindakan ganas polis dibuat semata-mata untuk menjaga kepentingan kroni UMNO dan Barisan Nasional, bukan untuk keamanan Negara,” katanya.

Beliau juga menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon maaf kepada rakyat Selangor kerana menyalahgunakan polis demi menjaga kepentingan syarikat SYABAS.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak berkata, pihaknya berharap polis bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keamanan dan tiada kekecohan berlaku.

“Peserta perhimpunan ini tidak mendatangkan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara, lagipun sekarang bukan masa darurat.

“Mereka hanya menyertai perhimpunan aman dan tidak menimbulkan sebarang masalah sekiranya tidak diganggu polis,” katanya.

Katanya, keadaan yang berlaku itu tidak sebagaimana di luar negara yang boleh mengadakan himpunan secara aman.Sinar Harian

Tuesday, December 7, 2010

Pemimpin BN tak ambil kira kesusahan rakyat

BahrainPARIT BUNTAR , 5 Dis : Kenaikan harga petrolRON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula adalah bukti jelas kerajaan Barisan Nasional tidak mengambil kira kesusahan rakyat bawahan.

Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Abdul Bahrain Desa berkata, rakyat bawahan paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna yang menggunakan petrol RON95.

Menurutnya, kenaikan harga petrol RON95, diesel dan gas LPG sebanyak 5 sen menjadikan harga masing-masing meningkat kepada RM1.90 seliter, RM1.80 seliter dan RM1.90 sekilogram.

“Kenaikan ini sudah pasti menjejaskan kehidupan rakyat kerana peniaga akan menaikkan harga barang perniagaan mereka.

“Selain itu, hampir semua kenderaan menggunakan minyak petrol dan diesel selain setiap makanan yang memerlukan gula,” katanya.

Bahrain berkata, pihaknya hairan dengan sikap pemimpin Barisan Nasional yang memberi pelbagai alasan dan tidak dapat diterima rakyat.

“Kononnya, kerajaan mahukan rakyat sihat dari penyakit diabetes maka harga gula perlu dinaikkan.

“Ada juga alasan dikaitkan dengan keselamatan rakyat di jalan raya, maka harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan,” katanya.

Katanya, kerajaan menyatakan tidak mampu menampung subsidi rakyat dengan harga lama, maka harga petrol dan barang keperluan terpaksa dinaikkan.

“Kenaikan harga ini seolah-olah adalah jalan akhir setelah hampir semua langkah diambil bagi membela rakyat.

“Sedangkan kerajaan banyak membuat pembaziran untuk projek yang hanya menguntungkan pihak tertentu dan berakhir dengan kehilangan wang rakyat seperti projek PKFZ,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, kerajaan sepatutnya mengkaji semula perjanjian yang dibuat dengan syarikat konsesi penjana tenaga bebas (IPP) dan menghentikan ketirisan wang sebelum mengambil tindakan mengurangkan subsidi rakyat.

“IPP dapat subsidi Petronas sebanyak RM15.1 bilion berbanding rakyat yang hanya terima subsidi sebanyak RM11 bilion, sedangkan IPP adalah syarikat besar yang sentiasa bertujuan mengaut keuntungan.

“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM5 billion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya. Adakah ini yang dikatakan rakyat didahulukan,” katanya

Katanya, pemimpin kerajaan boleh menyatakan bahawa kenaikan itu tidak membebankan rakyat kerana pemimpin kerajaan tidak merasai kesusahan dialami akibat kenaikan ini.

“Sudah kering air mata dan keringat rakyat bekerja mencari sesuap rezeki menampung kehidupan.

“Rakyat kini bukan sekadar terbeban dengan kenaikan harga barang, tetapi juga menanggung beban hutang negara yang semakin besar akibat pemborosan pemimpin kerajaan Barisan Nasional,” katanya.Sinar Harian

Sunday, December 5, 2010

Jangan salahkan pemimpin PR


PARIT BUNTAR, 2 Dis. : Tanah orang Melayu di Pulau Pinang yang hanya tinggal satu peratus bukan berlaku di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat sebaliknya sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin Umno bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengambil tanah orang Melayu sehingga menyebabkan tanah orang Malayu hanya tinggal satu peratus.

“ Pakatan Rakyat baru memerintah tiga tahun dituduh mengambil tanah orang Melayu, sedangkan sejak Barisan Nasional memerintah tanah orang Melayu sudah tinggal satu peratus.

“ Separuh abad Umno dan Barisan Nasional berkuasa di Pulau Pinang, apa mereka buat untuk memajukan orang Melayu, mempertahankan hak mereka, membina kekuatan orang Melayu dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi?” katanya

Fakhrurrazi berkata, masalah tanah orang Melayu Pulau Pinang telah diseminar dan didiskusikan oleh ahli-ahli akademik sejak berdekad yang lalu. Sudah berpuluh resolusi dihasilkan, semuanya sampai ke tangan para pemimpin Umno negeri yang pada waktu itu menjadi Exco dan Menteri.

“ Apa langkah yang mereka ambil? Hanya selepas Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (yang dikatakan kerajaan DAP) barulah Umno terhegeh-hegeh nak mendedahkan isu Melayu Pulau Pinang yang merempat di bumi sendiri.

“ Isu orang Melayu tinggal di atas tanah yang bukan milik mereka, bukan perkara baru. Masalah ini sudah dibangkitkan sejak Barisan Nasional memerintah tapi Umno hanya melihat dengan mata putih, apa mereka buat atau apa mereka telah buat? “Soalnya

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman kesal dengan sikap pemimpin Umno baru sekarang membawa isu orang Melayu bakal terusir dari rumah yang mereka duduki kerana berada di atas tanah milik orang lain.

“ Ia tidak lebih dari cerita zaman P. Ramlee yang diputar semula. Ini sama sekali bukan angkara DAP kerana tanah orang lain yang mereka duduki itu bermula dari zaman BN dahulu.

“ Ia berlaku kerana kemiskinan orang Melayu, tidak bertanah dan menumpang di atas tanah orang. Kemunduran Melayu Pulau Pinang adalah kerana kegagalan Umno sebagai penguasa (dalam tempoh yang panjang) memperjuangkan nasib mereka” katanya

Adnan berkata, kini Umno mencari isu remeh temeh untuk menjadikan Pakatan Rakyat sebagai kambing hitam menutup kegagalan mereka.

“ Sewaktu satu demi satu tanah milik Melayu di Pulau Pinang diambil oleh kerajaan pada tahun 80-an untuk pelbagai tujuan, Umno tidak sibuk mengangkat sepanduk.

“ Sekarang nak menyalahkan pemimpin Pakatan Rakyat yang diwariskan sebuah negeri yang sudah kering kontang hak Melayunya , angkara kegagalan kerajaan Barisan Nasional” katanya

Katanya, rakyat perlu tahu bahawa Pulau Pinang menjadi negara pertama yang berjaya menghapuskan kemiskinan tegar dalam tempoh yang setahun pentadbiran Pakatan Rakyat.

“ Kerajaan Pulau Pinang akan memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan. Hampir semua yang miskin tegar itu adalah orang Melayu.

“ Malah, kerajaan Pulau Pinang yang dituduh anti Melayu inilah yang telah menyalurkan bantuan kewangan kepada semua Sekolah Agama Rakyat di Pulau Pinang setelah dinafikan semasa pemerintahan Barisan Nasional” katanya. Sinar Harian

Wednesday, December 1, 2010

Permohonan dihalang, penduduk sepakat bina jalan sendiri

PARIT BUNTAR : Jamaah Surau Mujahidin , Kampung Kedah bersama penduduk di Kampung Kedahbersepakat untuk mengutip derma dan membeli simen konkrit serta batu untuk membina sebatang jalan konkrit simen selebar 10 kaki dan panjang 700 kaki apabila pihak tertentu menghalang permohonan mereka yang telah diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Penyelaras Surau Mujahidin Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, kos melibatkan hampir RM 15 000 bagi membeli simen konkrit dibiayai daripada sumbangan ahli Jamaah Surau Mujahidin , penduduk kampung dan orang perseorangan.

“ Kami mendapat sokongan yang kuat dari PAS Parit Buntar dan Pejabat Ahli Parlimen serta Pejabat ADUN Titi Serong yang turut sama membantu usaha membina jalan ini.

“ Kita mendapat maklumat pihak berkuasa tempatan telah meluluskan pembinaan jalan ini, namun ada pihak yang tidak bertanggung jawab menghalangnya “ katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Parit Buntar

Fakhrurrazi berkata, program gotong-royong bermula jam 8 pagi sehingga jam 2 petang melibatkan kira-kira 100 penduduk kampung, ahli Jamaah Surau Mujahidin dan ahli-ahli PAS sekitar Parit Buntar.

“Jalan ini adalah laluan yang penting kepada penduduk ke Taman Kerian Permai, Taman Seri Tenggara, Taman Semarak dan Taman Wawasan

“ Malah, lebih utama jalan ini turut digunakan oleh pelajar dan guru untuk berulang-alik setiap hari di mana terdapat beberapa sekolah terletak di kawasan berhampiran” katanya ketika ditemui di lokasi gotong-royong, di sini.

Katanya, penduduk mengambil tindakan proaktif membina sendiri jalan berkenaan setelah melihat ada pihak yang sanggup menghalang kemudahan jalan yang sepatutnya diberi kepada penduduk di sekitar Kampung Kedah.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan dan penduduk yang bergotong-royong membina jalan ini” katanya

Hadir sama Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong Drs Khalil Idham Lim Abdullah dan pimpinan PAS Parit Buntar bagi memberi sokongan moral kepada penduduk.