Wednesday, January 19, 2011

Pesta Pancing 'Orang Muda Geng Kita' Meriah



Parit Haji Ali - Pesta Pancing "Orang Muda Geng Kita" begitu meriah dengan kehadiran penduduk tempatan yang begitu ramai hadir ke program tersebut. Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, pesta pancing parit tali air yang pertama kali dianjurkan oleh pemuda PAS dengan kerjasama PAS Cawangan Parit Haji Ali telah berjaya menggamit lebih 150 penyertaan terdiri daripada golongan kanak-kanak hinggalah golongan warga emas.

Kampung Parit Haji Ali seolah-olah berpesta dengan orang ramai memenuhi segenap ruang tebing parit yang menjadi lokasi pertandingan. Ada penduduk tempatan mengambil peluang membuka gerai makanan dan minuman bagi menambahkan pendapatan sampingan mereka. Disamping acara memancing, pengunjung juga berpeluang untuk mendaftar sebagai pemilih atau pengundi di kaunter yang dibuka oleh wakil SPR daripada PAS.

Siti Hajar Said ,45 muncul johan setelah berjaya memancing ikan keli seberat 565 gram. Beliau membawa pulang hadiah utama bernilai RM300.00. Disamping hadiah utama, terdapat 20 hadiah cabutan bertuah menjadi rebutan yang menyebabkan para peserta menunggu hingga akhir acara penyampaian hadiah.Hadiah disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Khairulzami Mohamad. Turut hadir menyaksikan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.











Monday, January 17, 2011

Pemuda PAS Terus Pergiatkan Kebajikan Rakyat






Parit Buntar - Sempena menyambut tahun 2011 baru-baru ini Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar terus mempergiatkan gerakkerja kebajikan dengan mengadakan jelajah kebajikan rakyat. Menurut Ketua Penerangannya, Hairul Nizam Ishak seramai 10 orang Jawatankuasa Pemuda PAS Parit Buntar telah turun padang untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan.

Rombongan sebanyak tiga buah kereta ini telah menjelajah ke lima buah cawangan di kawasan Parlimen Parit Buntar. Jelajah dimulakan dari Taman Kerian Tambahan dan kemudian ke Taman Kerian Fasa Satu. Selepas itu rombongan ini terus ke Parit T
ok Ngah, Parit Mat Ali dan Parit Haji Ali di Kuala Kurau. Seramai 15 orang telah menerima bantuan ini dan kebanyakan dari mereka merupakan pesawah yang berpendapatan rendah. Kegembiraan diwajah penerima jelas terpancar dengan kehadiran pemuda PAS ini. Mereka berasa terharu di atas sumbangan barangan dapur yang dihulurkan itu.

Hairul Nizam yang juga Setiausaha kepada Ahli Parlimen Parit Buntar akan mengambil tindakan segera untuk membuat laporan ke atas Jabatan Kebajikan Mas
yarakat (JKM) bagi mereka yang begitu daif tinggal di dalam rumah yang usang dan membahayakan, khususnya warga emas. "Ada juga dikalangan mereka yang sudah memohon di JKM dan Baitulmal, namun belum ada bantuan yang diterima. Kita akan pastikan permohonan mereka ini untuk mendapat bantuan boleh disegerakan," katanya lagi.





Friday, January 14, 2011

Kejohanan Pesta Bola 'Orang Muda Geng Kita'

Parit Buntar - Dewan Pemuda PAS Parit Buntar dengan kerjasama Kelab Bolasepak Muhibbah akan mengadakan Kejohanan Pesta Bola "Orang Muda Geng Kita", terbuka liga sembilan sebelah yang akan diadakan pada 3 Februari 2011 di Padang Bandaran Parit Buntar dan Padang Bandaran Bandar Baharu, Kedah.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, tujuan program ini adalah untuk memupuk budaya yang sihat dalam sukan bolasepak apatah lagi pasukan negara kini mendapat tempat dihati peminat bolasepak tempatan setelah menjuarai AFF Suzuki, bulan lalu. Justeru Pemuda PAS serta Kelab Bolasepak Muhibbah ingin terus semarakkan semangat anak-anak muda menyertai kejohanan ini.

Juara bakal merebut RM3,000.00 berserta jersi dan piala iringan, manakala tempat kedua RM 2,000.00. Pasukan ketiga dan keempat layak membawa pulang RM 700.00. Mereka juga bakal membawa pulang hadiah iringan istimewa. Sumbangan penyertaan adalah sebanyak RM 300.00 setiap pasukan. Hadiah kejohanan bakal disampaikan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ia terhad kepada 40 pasukan sahaja. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 28 Januari 2011 dan keterangan lanjut sila hubungi Zaihidi (012-4557593) atau Shahrin (017-5681454). Borang juga boleh didapati di Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar atau dimuat turun pada link di bawah:

Borang muka1, borang muka2



Monday, January 10, 2011

Mari Sertai Pesta Pancing "Orang Muda Geng Kita"



Pesta Pancing "Orang Muda Geng Kita"

Parit Buntar - Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar akan mengadakan Pesta Pancing "Orang Muda Geng Kita" pada 16 Januari ini. Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, program tersebut akan diadakan di Tali Air Parit Haji Ali, Kuala Kurau. Pendaftaran akan dimulakan pada jam 8.30 pagi manakala masa pertandingan daripada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Sumbangan penyertaan hanyalah RM5.00 satu joran.

Pemenang yang bertuah bakal membawa pulang RM300.00 sebagai johan, RM200.00 naib johan dan RM100.00 tempat ketiga. Terdapat juga hadiah saguhati dan peserta juga berpeluang memenangi 10 hadiah cabutan bertuah. Pemenang dikira berdasarkan ikan terberat. Pihak Pemuda PAS mendapat kerjasama PAS Cawangan Parit Haji Ali dalam penganjuran memancing ini. Sehari sebelum program ini kami akan melepaskan 50 kilogram ikan keli di tali air ini.

Program ini bertujuan mewujudkan ikatan silaturrahim di antara PAS serta penduduk tempatan. Dalam masa yang sama juga kita akan membuka kaunter daftar dan semakan pengundi. Kita menjemput masyarakat setempat serta penduduk berhampiran untuk menyertai pesta pancing ini. Syarat-syarat penyertaan boleh didapati pada borang yang boleh didapati di Kedai Runcit Din, Batu 7, Kedai Makan Tajol, Batu Lima dan Pejabat ADUN Kuala Kurau.

Sunday, January 9, 2011

Kos persekolahan meningkat : Kerajaan tidak fikir kesusahan ibu bapa


http://www.skcai.com/wp-content/uploads/2010/07/Daftar2010-5-m.jpgPARIT BUNTAR, 8 Jan. : Isu persekolahan di Malaysia banyak membebankan ibu bapa tidak sepatutnya berlaku sekiranya kerajaan membuat perubahan drastik untuk mengurangkan kos pendidikan rakyat.

Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, kerajaan mesti komited mengurangkan kos pendidikan pada tahap yang paling minima sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.


“ Kerajaan mesti memikirkan nasib ibu bapa yang bekerja sendiri serta berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dan bekerja kampung untuk menyara persekolahan anak-anak.

“ Setiap tahun ibu bapa terpaksa membuat tambahan kepada perbelanjaan persekolahan , dalam masa yang sama harga barangan keperluan banyak yang naik” katanya

Adnan berkata, secara mudahnya kos untuk mendapatkan pendidikan ini tidak diminimakan sebaik mungkin, tapi dalam masa yang sama kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit untuk membuat pelbagai projek yang tidak perlu.

“Kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta untuk Permata yang kononnya untuk memantapkan pendidikan awal kanak-kanak.

“ Apakah sebenarnya dengan jumlah tersebut kerajaan dapat memanfaatkan untuk tujuan persekolahan dan pembelajaran yang dapat meringankan beban pelajar?”katanya

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid membidas tindakan kerajaan mengurangkan subsidi dan menaikkan harga barang sehingga menyebabkan jumlah pendapatan boleh guna isi rumah semakin berkurangan.

“Saya sedih apabila ramai ibubapa terpaksa berhutang dengan pihak bank dan koperasi untuk membeli barangan keperluan pendidikan anak-anak setiap hujung tahun.

“ Ibu bapa terpaksa menanggung kos persekolahan yang meningkat kerana yuran sekolah bertambah setiap tahun selain kos membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak juga meningkat” katanya

Katanya, slogan 'rakyat didahulukan' hanya sekadar slogan kerana dalam isu pendidikan anak-anak, ibu bapa makin terbeban dengan masalah perbelanjaan persekolahan dan pendidikan anak-anak.

Saturday, January 8, 2011

Gunting rambut hargai pelajar ke sekolah


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjs59zz9PRUcfrsRxcRilekegt-caclhgJXNm_O3Lx5rsL3wEXYXeYH_Vwqkb05fuqgnboIHtXt6Z9MqIk4YpuqHYrPpSs6Tybaw2vXCf-TW-I_8YmPP6BhAYJ8XjOiVvpKamWZKGo8j-E/s1600/SAM_0940.JPGPARIT BUNTAR : PAS Parit Buntar telah bekerjasama dengan lima buah kedai gunting rambut bagi menjayakan program ‘ Kembali ke Sekolah’ di Parit Buntar.

Pengerusi Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar Ahmad Azhar Sharin berkata, selain menyampaikan sumbangan kepada pelajar miskin, sumbangan kepada pelajar untuk mengunting rambut juga dilaksanakan di lima buah kedai gunting terpilih.

“ Seminggu sebelum persekolahan dibuka, pelajar yang mengunting rambut di kedai-kedai berkenaan dikenakan bayaran dengan kadar yang lebih rendah.

“Seperti kebiasaan, apabila musim persekolahan hendak bermula, ibu bapa akan membawa anak-anak ke kedai gunting. Kami mengambil kesempatan membantu ibu bapa dengan menawarkan bayaran gunting rambut yang lebih rendah” katanya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Parit Buntar.

Ahmad Azhar berkata, program ini bertujuan menghargai pelajar yang kembali bersekolah dan merapatkan hubungan PAS dengan masyarakat tanpa mengira parti.

“Ramai ibu bapa yang membawa anak masing-masing untuk bergunting rambut memandangkan musim persekolahan hampir bermula.

“ Secara dasarnya program kemasyarakatan kali ini telah berjaya mencapai matlamatnya membantu masyarakat tidak kira PAS atau Umno” katanya

Beliau melahirkan penghargaan kepada tukang gunting yang sanggup bekerjasama menjayakan program ‘ Kembali Ke Sekolah’ anjuran PAS Parit Buntar.

Sudah dijangka pemuda Umno takut berdebat


PARIT BUNTAR : Kegagalan Debat Pemuda PAS dan Pemuda UMNO Larut tentang isu Melayu dan Islam sudah dijangka dari awal apabila program ilmu yang sepatutnya mewujudkan kemurnian dan keharmonian di kalangan dua buah parti politik Melayu itu disekat oleh pihak polis. Namun apa yang jelas, pihak Pemuda UMNO menggunakan alasan lemah tersebut untuk mengelak bertembung dengan hujah-hujah debat daripada Pemuda PAS.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, kegagalan majlis tersebut sudah dapat diagak apabila Ketua Pemuda UMNO Larut, Mohd Anuar Ariffin mula bermain isu permit yang belum dikeluarkan oleh pihak polis.

" Pembatalan majlis dengan tiada permit dikatakan atas faktor keselamatan tidak boleh diterima akal kerana ia bukanlah sebuah program yang menyebabkan suasana huru hara akan tetapi membincangkan isu Melayu dan Islam.

"Kita hendak melihat bagaimana UMNO ataupun PAS mempertahankan serta memberi hujah isu yang menjadi kepentingan ummah ini"katanya

Hairul Nizam berkata, sekiranya difikirkan atas faktor keselamatan, pihak polis boleh meletakkan anggotanya bagi mengelakkan sebarang keadaan tidak diingini.

" Sebelum ini program debat di Parit Buntar pernah dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Parit Buntar tentang isu yang sama dan menampilkan tokoh-tokoh dari PAS dan UMNO. PAS diwakili Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa manakala UMNO diwakili Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato' Tajuddin Abdul Rahman.

" Suasana debat begitu aman, tanpa polis manakala dua-dua penyokong politik iaitu UMNO dan PAS berada dalam dan luar dewan, tiada langsung kekecohan timbul. Di dalam majlis tersebut kedua-dua tokoh ini berhujah dengan baik dan tiada sebarang provokasi"katanya

Katanya, apa yang pasti Pemuda PAS Larut telah memberi keyakinan kepada polis bahawa majlis ini akan dilaksanakan secara aman.

"Saya fikir sekiranya Pemuda UMNO turut memberikan keyakinan yang sama, pasti program berjalan dengan baik.

"Masalahnya sekarang Pemuda UMNO tidak mampu untuk berhadapan dengan Pemuda PAS. Mereka takut akan pecahnya tembelang kerosakan yang mereka lakukan pada orang Melayu dan Islam"katanya

Beliau mempersoal alasan polis di Larut tidak mampu mengawal rakyat yang kini semakin bijak dan profesional.

" Ini bukannya program konsert haram ataupun demonstrasi akan tetapi majlis ilmu untuk kebaikan masyarakat Melayu Islam di negara ini"katanya

Hairul Nizam berkata, Parit Buntar bersedia menyediakan medan debat secara profesional isu Melayu Islam ini sekiranya di Larut menghadapi ancaman ataupun masalah.

" Pengalaman debat aman di Parit Buntar membuka ruang debat yang lebih efisien, efektif dan profesional" katanya