Friday, December 10, 2010

Presiden PAS terima kunjungan orang Tionghua Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 7 Dis. : Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang meraikan 40 orang ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Parit Buntar yang telah mengunjungi kediaman beliau di Rusila, Terengganu. Semua ahli rombongan telah makan pagi dan beramah mesra dengan Presiden PAS di kediaman beliau.

Ketua rombongan Hamdan Fadel Ahmad berkata, kunjungan muhibbah tersebut disertai orang Tionghua Parit Buntar dalam rangka lawatan dua hari ke Terengganu dan Kelantan.

“ Orang-orang Tionghua dari Parit Buntar ini sendiri yang mahu datang ke rumah Tuan Guru untuk bertemu dengan beliau.

“ Mereka gembira kerana Tuan Guru sanggup meluangkan masa melayani mereka , malah dapat makan pagi di dalam rumah Presiden PAS” katanya yang juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar

Hamdan berkata, peserta rombongan juga telah mendapat penerangan berkenaan aktiviti PAS Terengganu yang disampaikan oleh Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar ADUN Ladang di Dewan Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu.

“ Kami mengucapkan terima kasih kepada PAS Terengganu yang menyediakan jadual program sehari kami di Terengganu.

“ Orang-orang Tionghua Parit Buntar dapat merasa sendiri masakan orang Terengganu yang disediakan oleh PAS kawasan Marang kerana hampir kesemua peserta rombongan tidak pernah sampai ke Terengganu,” katanya

Tambahnya, rombongan seterusnya berkunjung ke Kelantan mengikuti sesi dialog oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10.

“ Rombongan juga mengunjungi beberapa tempat menarik di Kelantan seperti rumah-rumah ibadat di Tumpat, Rantau Panjang dan sekitar Kota Bharu.

“ Kami juga mendapat penerangan mengenai aktiviti PAS Kelantan yang disampaikan Ahli Parlimen Pasir Putih Muhammad Husin” katanya

AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar Teoh Bak Chua yang turut menyertai rombongan berkata, pertemuan dengan Presiden PAS ini telah menyangkal tuduhan dalam media bahawa beliau seorang yang keras.

“ Apabila datang sini, dia sambut kami dengan mesra, makan bersama kami. Langsung tak kekok, kami yang kekok. Media banyak bawa cerita tipu buruk-burukkan Presiden PAS.

“ Kami dapat mengenali lebih dekat tentang kehidupan Presiden PAS. Sukar nak percaya, rumah Presiden PAS sangat sederhana macam rumah orang kampung lain” katanya


Tuan Guru memeluk mesra anak seorang Tionghua Parit Buntar yang melawat beliau di Rusila

Cenderahati kepada Tuan Guru

Bersama ADUN Ladang Dato' Tengku Hasan di Kuala Terengganu

No comments:

Post a Comment