Monday, November 29, 2010

Hari Anugerah Kecemerlangan PASTI Parit Buntar disambut meriah


PARIT BUNTAR : Hari Anugerah PASTI kawasan Parit Buntar tahun ini disambut meriah apabila 120 pelajarnya dari sembilan buah PASTI di seluruh kawasan Parit Buntar menerima hadiah kecemerlangan.

Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad berkata, majlis yang diadakan di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain, Titi Serong ini merupakan hari anugerah kecemerlangan kali ke 13 dan pada tahun ini lebih 100 pelajar menamatkan pengajian mereka di PASTI untuk melanjutkan pelajaran diperingkat sekolah rendah.

" Hari anugerah ini telah dirasmikan oleh Ustaz Marul Hairi Mokhtar yang merupakan Timbalan Pengarah PASTI Negeri Perak. Di dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa PASTI merupakan pusat asuhan yang terbaik dengan menampilkan bidang pengajian berunsurkan tarbiyah dan kokurikulum.

" Anak-anak ini didedahkan dengan hal ehwal aqidah, rohani, akhlak, intelek dan jasmani. Dalam masa yang sama mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Al-Quran juga diajar untuk mereka " katanya

Menurut Khairulzami, majlis dimulakan dengan perarakan masuk graduan enam tahun. Anak-anak PASTI juga menyampaikan persembahan nasyid dan alunan zikir munajat serta Asma'Ul Husna.

" Pada tahun ini pelajar terbaik lima tahun disandang oleh adik Dania Syauqina Ahza Muhamad Razia dari PASTI Al Munir, Taman Murni.

" Manakala adik Intisya' Adnin Zulaikha Mohd Suhaidi dari PASTI An Nur, Taman Kerian Permai diisytihar sebagai pelajar terbaik keseluruhan enam tahun" katanya

Khairulzami berkata, PASTI di Parit Buntar juga merupakan pusat asuhan yang aktif dengan aktiviti kokurikulum.

" Pada tahun ini, PASTI Parit Buntar telah menjadi johan pertandingan bola jaring PASTI negeri Perak, manakala pasukan bola sepak menjadi naib johan negeri Perak." katanya

Turut hadir sama dalam majlis gemilang ini adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Harun Hashim dan beberapa pimpinan PAS Parit Buntar.

Tambah Khairulzami, pendaftaran baru untuk pelajar PASTI bagi umur empat hingga enam tahun sudah dibuka untuk tahun 2011. Ibu bapa kanak-kanak yang berminat boleh menghubungi guru PASTI yang berhampiran.
Anak-anak PASTI menyampaikan alunan zikir munajat
Sebahagian dari ibu bapa yang hadir ke hari anugerah
Nyanyian nasyid dari graduan enam tahun

No comments:

Post a Comment