Monday, July 12, 2010

Program Cakna Rakyat Dapat Sambutan

Dr Mujahid, Drs Khalil Idham dan Haji Harun bergambar bersama pemenang bolasepak 7 sebelah dan jawatankuasa penganjur.

Parit Buntar - Program Cakna Rakyat 2010 anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong mendapat sambutan hebat daripada penduduk di Kuala Bagan Tiang dan sekitarnya. Program yang julung-julung kali diadakan ini mendapat kerjasama penduduk di Kuala Bagan Tiang yang diketuai oleh Haji Ahmad Bakhtair Arshad.

Cakna Rakyat 2010 ini diadakan sebagai tanda prihatin pemimpin masyarakat khususnya daripada wakil rakyat untuk mendekati rakyat dengan lebih dekat. Acara yang bermula dari jam 9.00 pagi itu dimulai dengan majlis ucapan perasmian oleh ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah. Pelbagai acara telah dianjurkan yang dapat menarik ratusan pengunjung ke Dewan Serbaguna Kuala Bagan Tiang. Pengunjung dihidangkan dengan acara peraduan mewarna kanak-kanak, sukaneka kanak-kanak, sukaneka wanita, pertandingan masakan dan gubahan, bolasepak tujuh sebelah, tarik tali, pemeriksaan kesihatan percuma, daftar dan semakan pemilih dan banyak lagi.

Setiap acara mendapat sambutan sehingga pihak penganjur terpaksa mengadakan acara saringan terutamanya bagi acara sukaneka kanak-kanak kerana lebih 100 kanak-kanak menyertainya. Dalam masa yang sama tidak ketinggalan juga pihak penganjur menyampaikan sumbangan untuk fakir miskin di kawasan tersebut.
Menurut Pengarah Program Cakna Rakyat, Ahmad Azhar Sharin, program turun padang mendampingi rakyat ini merupakan acara yang sering dilaksanakan oleh pihak penganjur. Sebelum ini acara yang sama telah diadakan di Pekan Tanjung Piandang dan Kampung Perak. Program ini dianjurkan sebagai tanda prihatin pihak Parlimen dan DUN untuk memberi khidmat pada penduduk setempat dan pada kali ini Kuala Bagan Tiang menjadi tuan rumah.

Pada acara penutupnya di padang bolasepak Kuala Bagan Tiang, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan terima kasih di atas komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh penduduk setempat yang sama-sama terlibat bagi menjayakan Cakna Rakyat ini. Beliau menyeru anak-anak muda khususnya yang beragama Islam dan berbangsa Melayu ini menyertai program-program yang berfaedah dan dapat memupuk semangat muhibbah di antara pemimpin dan juga masyarakat setempat.

Penyampaian hadiah telah disampaikan oleh beliau bersama ADUN Titi Serong serta penaung Cakna Rakyat yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Haji Harun Hashim.


Kanak-kanak menyertai acara meniup belon

Seorang warga emas sedang diperiksa oleh doktor.


Acara tarik tali mendapat sambutan hebat


Puan Zuraida isteri kepada Ahli Parlimen menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pertandingan memasak

pertandingan mewarna bagi kanak-kanak

Kepimpinan Kawasan dan Pemuda beramah mesra bersama masyarakat

Sdr. Azhar shahrin, NYD Pas Kawasan menyampaikan hadiah

Terbang..kanak-kanak begitu gembira bermain kapal terbang kertas

Acara untuk ibu-ibu

No comments:

Post a Comment