Thursday, April 7, 2011

Peranan Media Kepada Rakyat Mesti Jelas

Parit Buntar - Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak semakin hampir dan dilaporkan 1,000 wartawan serta pegawai media bertungkuas lumus untuk mendapatkan liputan terbaik untuk dimuatkan dalam media cetak mahupun elektronik. Apa yang pasti mulai pembubaran DUN hinggalah kepada keputusan pilihanraya nanti banyak maklumat akan diperolehi khususnya keputusan siapa yang akan menerajui Sarawak. Sama ada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR).

Apa yang pasti kini akhbar arus perdana akan mencuba sedaya upaya menceritakan yang terbaik untuk BN dalam usaha untuk mempertahankan kemenangan. PR pula dianggap lawan yang tidak berguna dan tiada langsung isu-isu baik yang dibawa oleh mereka. Ini sebenarnya media yang berlaku dalam Malaysia, sama ada elektronik mahupun cetak, ianya berat sebelah dan tidak mengikut kod etika media dan kewartawanan yang sebenar.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, media bertanggungjawab melaporkan berita secara telus kepada rakyat. Akhbar arus perdana tidak seharusnya berat sebelah dalam menyebarkan berita kepada masyarakat. Ini kerana mereka tidak boleh terikat dengan mana-mana parti politik. Media ini harus menceritakan berita kedua-dua belah pihak bagi rakyat dapat menilai kebenaran dan kepalsuan. Seandainya dikatakan akhbar Harakah dan Suara Keadilan menjadi akhbar politik pembangkang, ia jelas kerana ia merupakan akhbar yang dimiliki oleh parti tersebut iaitu PAS dan PKR. Sekiranya media hendak berpihak kepada BN hendaklah ada satu akhbar politik yang dimiliki oleh mereka sama ada UMNO, MCA, Gerakan atau MIC.

Hairul yang juga lulusan Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media berkata, media arus perdana perlu memberi peluang kepada masyarakat untuk membuat penilaian berdasarkan keseimbangan kempen pilihanraya di media. Sebagai contoh kita boleh lihat semasa pilihanraya di Amerika Syarikat serta United Kingdom, media tidak berat sebelah malah memberi ruang yang secukupnya untuk calon pilihanraya berkempen di media. Calon Demokrat dan Republikan berdebat dengan cara profesional secara langsung untuk menyatakan manifesto dan janji mereka dalam pilihanraya. Justeru rakyat boleh menilai dengan waras siapa yang layak untuk mereka pilih sebagai kerajaan.

Sebagai perintis, jadikan PRN Sarawak ini sebagai projek awal untuk media menjadi lebih profesional. Berikan ruang berkempen untuk BN, PR ataupun Bebas berkempen dalam akhbar ataupun menerusi kaca televisyen. Ruang diakhbar berikan hak sama rata tentang kempen ataupun bicara yang ingin disampaikan oleh calon-calon pilihanraya. BN tidak harus takut dengan PR ataupun mana-mana parti yang bertanding sekiranya mereka menjaga kebajikan rakyat, membangunkan prasarana untuk rakyat, tidak rasuah, mengagihkan harta kekayaan negeri kepada seluruh rakyat jelata serta menjadikan negara dalam kesejahteraan. Jangan hanya berhujah menempelak PR tanpa dapat dibalas hujah melalui media yang sama.

Pemuda PAS Parit Buntar mencabar media arus perdana seperti RTM, Media Prima serta ASTRO agar dapat mengadakan satu debat ataupun forum yang membabitkan pemimpin BN dan PR ataupun Bebas bersempena PRN Sarawak secara langsung untuk mendengar apakah kempen, manifesto serta janji-janji mereka dalam pilihanraya yang membolehkan rakyat Sarawak menilai siapakah yang benar-benar layak diangkat untuk memerintah Sarawak. Sekiranya ia berjaya, peranan media ini akan lebih luas dengan memberi ruang dan peluang pula kempen untuk Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang akan datang.

No comments:

Post a Comment