Sunday, January 9, 2011

Kos persekolahan meningkat : Kerajaan tidak fikir kesusahan ibu bapa


http://www.skcai.com/wp-content/uploads/2010/07/Daftar2010-5-m.jpgPARIT BUNTAR, 8 Jan. : Isu persekolahan di Malaysia banyak membebankan ibu bapa tidak sepatutnya berlaku sekiranya kerajaan membuat perubahan drastik untuk mengurangkan kos pendidikan rakyat.

Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, kerajaan mesti komited mengurangkan kos pendidikan pada tahap yang paling minima sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.


“ Kerajaan mesti memikirkan nasib ibu bapa yang bekerja sendiri serta berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dan bekerja kampung untuk menyara persekolahan anak-anak.

“ Setiap tahun ibu bapa terpaksa membuat tambahan kepada perbelanjaan persekolahan , dalam masa yang sama harga barangan keperluan banyak yang naik” katanya

Adnan berkata, secara mudahnya kos untuk mendapatkan pendidikan ini tidak diminimakan sebaik mungkin, tapi dalam masa yang sama kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit untuk membuat pelbagai projek yang tidak perlu.

“Kerajaan memperuntukkan lebih RM100 juta untuk Permata yang kononnya untuk memantapkan pendidikan awal kanak-kanak.

“ Apakah sebenarnya dengan jumlah tersebut kerajaan dapat memanfaatkan untuk tujuan persekolahan dan pembelajaran yang dapat meringankan beban pelajar?”katanya

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid membidas tindakan kerajaan mengurangkan subsidi dan menaikkan harga barang sehingga menyebabkan jumlah pendapatan boleh guna isi rumah semakin berkurangan.

“Saya sedih apabila ramai ibubapa terpaksa berhutang dengan pihak bank dan koperasi untuk membeli barangan keperluan pendidikan anak-anak setiap hujung tahun.

“ Ibu bapa terpaksa menanggung kos persekolahan yang meningkat kerana yuran sekolah bertambah setiap tahun selain kos membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak juga meningkat” katanya

Katanya, slogan 'rakyat didahulukan' hanya sekadar slogan kerana dalam isu pendidikan anak-anak, ibu bapa makin terbeban dengan masalah perbelanjaan persekolahan dan pendidikan anak-anak.

No comments:

Post a Comment