Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Abdul Bahrain Desa berkata, rakyat bawahan paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna yang menggunakan petrol RON95.
Menurutnya, kenaikan harga petrol RON95, diesel dan gas LPG sebanyak 5 sen menjadikan harga masing-masing meningkat kepada RM1.90 seliter, RM1.80 seliter dan RM1.90 sekilogram.
“Kenaikan ini sudah pasti menjejaskan kehidupan rakyat kerana peniaga akan menaikkan harga barang perniagaan mereka.
“Selain itu, hampir semua kenderaan menggunakan minyak petrol dan diesel selain setiap makanan yang memerlukan gula,” katanya.
Bahrain berkata, pihaknya hairan dengan sikap pemimpin Barisan Nasional yang memberi pelbagai alasan dan tidak dapat diterima rakyat.
“Kononnya, kerajaan mahukan rakyat sihat dari penyakit diabetes maka harga gula perlu dinaikkan.
“Ada juga alasan dikaitkan dengan keselamatan rakyat di jalan raya, maka harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan,” katanya.
Katanya, kerajaan menyatakan tidak mampu menampung subsidi rakyat dengan harga lama, maka harga petrol dan barang keperluan terpaksa dinaikkan.
“Kenaikan harga ini seolah-olah adalah jalan akhir setelah hampir semua langkah diambil bagi membela rakyat.
“Sedangkan kerajaan banyak membuat pembaziran untuk projek yang hanya menguntungkan pihak tertentu dan berakhir dengan kehilangan wang rakyat seperti projek PKFZ,” katanya.
Sementara itu, Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, kerajaan sepatutnya mengkaji semula perjanjian yang dibuat dengan syarikat konsesi penjana tenaga bebas (IPP) dan menghentikan ketirisan wang sebelum mengambil tindakan mengurangkan subsidi rakyat.
“IPP dapat subsidi Petronas sebanyak RM15.1 bilion berbanding rakyat yang hanya terima subsidi sebanyak RM11 bilion, sedangkan IPP adalah syarikat besar yang sentiasa bertujuan mengaut keuntungan.
“Kenapa mahu bina menara 100 tingkat yang kosnya mencacah RM5 billion yang akhirnya rakyat tak dapat keuntungan darinya. Adakah ini yang dikatakan rakyat didahulukan,” katanya
Katanya, pemimpin kerajaan boleh menyatakan bahawa kenaikan itu tidak membebankan rakyat kerana pemimpin kerajaan tidak merasai kesusahan dialami akibat kenaikan ini.
“Sudah kering air mata dan keringat rakyat bekerja mencari sesuap rezeki menampung kehidupan.
“Rakyat kini bukan sekadar terbeban dengan kenaikan harga barang, tetapi juga menanggung beban hutang negara yang semakin besar akibat pemborosan pemimpin kerajaan Barisan Nasional,” katanya.Sinar Harian
No comments:
Post a Comment