PARIT BUNTAR, 24 Dis. : PAS Parit Buntar kesal dengan sikap kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan [ KPDNKK ] yang berlepas tangan dengan menyatakan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini rentetan harganya meningkat di pasaran dunia.
Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, kenaikan harga susu ini akan menambah derita rakyat dan memberi tekanan berterusan dengan kenaikan harga barang lain sebelum ini.
“ PAS Parit Buntar membantah kenaikan harga untuk susu tin 400 gm dan 500 gm ini kerana kesannya diterima oleh rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah.
“ Pada bulan April lalu harga susu telah naik 5 sen, kemudian susu dinaikkan lagi 10 sen pada Oktober lepas. Mulai 1 Januari depan harga tersebut meningkat sebanyak 30 sen lagi”katanya
“ Itu sahaja sudah cukup membebankan rakyat, dan kini asakan tersebut sekali lagi diteruskan dengan peningkatan harga susu pula.
“ Percayalah harga minuman juga akan naik awal tahun depan ekoran kenaikan harga susu. Ia adalah reaksi berantai berikutan kenaikan harga bagi lain-lain barangan” katanya
Menurutnya, helah kerajaan terhadap rakyat berikutan kenaikan harga susu dengan menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk menghalang kenaikan harga bahan mentah tersebut merupakan alasan untuk menutup isu sebenar iaitu BN hilang kredibiliti memerintah negara.
“ Susu mentah keluaran tempatan tidak diurus dan dikendali dengan baik oleh kerajaan, Kerajaan terlalu bergantung kepada susu mentah yang diimport menyebabkan produk tenusu tempatan tidak mampu menampung keperluan rakyat.
“ Sekarang terbukti BN memang sudah hilang upaya memerintah negara. Rakyat sepatutnya melihat isu ini dari perspektif kemampuan jangka masa pendek dan jangka masa panjang BN yang sudah tidak kemampuan mentadbir “katanya
No comments:
Post a Comment