Monday, March 21, 2011

Pesta Pancing Pemuda PAS Meriah!






Pesta Pancing Pemuda PAS Meriah!

Parit Tok Ngah - Tangkapan ikan keli seberat 1.6 kilogram telah menobatkan Mohd Hizazi Arhad (26) selaku juara Pesta Pancing Orang Muda Geng Kita anjuran Dewan Pemuda PAS Parit Buntar dengan kerjasama Pemuda PAS Cawangan Parit Tok Ngah Atas. Beliau telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 200 dan penginapan satu malam di Taiping Golf Resort.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, seramai 150 orang telah menyertai pesta pancing kali ini. Ini merupakan kali kedua pesta pancing parit tali air dianjurkan oleh Pemuda PAS Parit Buntar. Penduduk di kawasan ini seolah-olah berpesta dengan mengumpulkan dari golongan kanak-kanak hinggalah warga emas menyertai kejohanan ini. Penduduk tempatan juga mengambil kesempatan kehadiran pengunjung untuk membuka gerai bagi menambah pendapatan mereka.

Tempat kedua telah diraih oleh Mohd Rosli Basri dengan tangkapan ikan keli seberat 1.4 kilogram manakala tempat ketiga dimenangi oleh Sabran Abdul Hamid dengan tangkapan 1.1 kilogram. Setiap pemenang juga mendapat hadiah percuma tiket ke Taman Tema Air Bukit Merah. Orang ramai yang berhimpun menyatakan mereka begitu gembira dengan pesta pancing dan berharap program sebegini dapat diadakan lagi.

Turut hadir dalam program ini adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Abdul Baharin Mat Desa yang telah memberikan ucapan sekaligus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.


Adik kecil ini juga mengambil kesempatan memancing



Antara peserta yang mengambil bahagian


sbar menanti umpat mengena


Tuan Haji Harun YDP Pas Parit Buntar memulakan gimik pancing

Saturday, March 12, 2011

Tuesday, February 22, 2011

Sokong DAP Kekalkan Nizar Sebagai MB


Parit Buntar - Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini bahawa sekiranya Pakatan Rakyat menerajui negeri Perak sekali lagi pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang mereka akan menyokong Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Ini sesungguhnya menunjukkan bahawa DAP memberi gambaran bahawa Menteri Besar daripada PAS itu mampu menggalas mentadbir negeri dengan baik.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, kenyataan kepimpinan tertinggi DAP itu menjelaskan bahawa mereka tidak tamak kerusi Menteri Besar sepertimana yang diwar-warkan oleh UMNO/BN. Mereka beranggapan bahawa sekiranya DAP mencalonkan orang Melayu, maka DAP berpeluang meletakkan Menteri Besar di Perak. DAP jelas berpuas hati dengan pentadbiran Nizar selama 11 bulan memerintah di Perak.

Selepas ini kita yakin orang-orang Melayu di Perak sudah boleh melihat betapa Pakatan Rakyat boleh bertoleransi dan bekerjasama dalam usaha mewujudkan kerajaan yang kuat dan mampu membela nasib rakyat. Jawatan Menteri Besar tetap diberikan kepada Nizar walaupun DAP menguasai majoriti dalam DUN. Ini membuktikan bahawa PAS, DAP dan PKR bekerjasama dengan baik. Tidak timbul soal Nizar Menteri Besar Boneka, kerana PAS kini sedia menggantikan UMNO dalam PRU13 di kawasan-kawasan orang Melayu. Isu ini akan terhapus sekiranya semua kerusi PAS yang ditandingi menang dalam pilihanraya.

Isu derhaka kepada sultan tidak timbul, ini merupakan isu yang disengaja dimainkan oleh UMNO semasa hendak merampas kuasa di Perak dahulu. Apa yang pasti Sultan Perak merupakan pemimpin yang bijak dan baginda pasti mahukan seseorang yang mampu mentadbir negeri dengan baik dan membawa kepada kemakmuran. Sepanjang yang diketahui, baginda tidak pernah pun mengisytiharkan Dato' Seri Nizar sebagai penderhaka dan segala gelaran ditarik balik. UMNO yang mainkan peranan isu ini untuk merampas kuasa di perak. Apa yang pasti rakyat akan membuat perubahan dan orang Melayu khususnya akan memilih PAS bagi menggantikan UMNO.

Hentian Raya Parit Buntar Perlu Diselenggara

Keadaan jalan yang pecah

Parit Buntar - Faktor keselamatan, keselesaan dan kebersihan merupakan agen terpenting dalam aspek perkhidmatan kepada orang awam. Apatah lagi tempat tersebut merupakan lokasi orang ramai menggunakannya untuk ke destinasi masing-masing. Dalam satu tinjauan, Setiausaha Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar bersama Jawatankuasa Pemuda PAS Parit Buntar, Noraidi Mat Isa bersama wartawan telah melawat kawasan Hentian Raya Pusat Bandar Parit Buntar baru-baru ini.

Menurut Hairul beliau telah menerima aduan awam tentang lantai di Hentian Raya yang tidak rata yang boleh menyebabkan ramai dikalangan pengguna telah terjatuh akibat susunan bata yang tidak rata. Ini turut diakui oleh pengusaha tiket bas di kawasan ini, Ramai dikalangan warga emas dan kanak-kanak terjatuh akibat tersepak batu bata yang terkeluar dari lantai. Kerusi batu dan kayu yang kotor serta dipenuhi najis burung gagak juga mencacatkan pemandangan dan ada pengguna tidak dapat menggunakannya.

Di kawasan tempat letak bas, ada lantai yang terpongkah pecah dengan agak teruk, dan ini akan membahayakan pengguna dan bas itu sendiri. Pengguna boleh tersepak tunggul batu yang terpongkah manakala tayar bas boleh mengalami kerosakan. Beliau turut meninjau keadaan longkang di hadapan Hentian Raya yang dipenuhi sampah dan daun-daun kering. "Ini adalah antara punca kepada berlakunya banjir di kawasan sekeliling Hentian Raya ini. Sekiranya hujan lebat berlaku maka air tidak dapat disalurkan dengan baik."

Seperkara lagi yang menjadi rungutan pengguna adalah kerusi yang dibina di hadapan Hentian Raya ini tidak mempunyai bumbung. Menurutnya lagi, binaan kerusi di hadapan Hentian Raya ini memang baik, akan tetapi tiada siapa yang mahu menggunakannya ketika cuaca panas dan hujan kerana tiada bumbung. Hanya najis burung sahaja yang banyak disitu. Ini sudah tentu merugikan."

Walaubagaimanapun kita mengucapkan syabas di atas penyelenggaraan bumbung Hentian Raya yang baru di sini. Kita tahu banyak kos yang digunakan untuk menaiktaraf Hentian Raya ini. Namun faktor kebersihan dan keselamatan pengguna juga harus diutamakan.

Justeru beliau berharap setiap aduan rakyat seperti lantai yang tidak diselenggara, kerusi yang kotor, longkang yang tersumbat dapat diatasi dengan segera. Ini sesungguhnya melambangkan imej serta nama baik Parit Buntar serta badan berwajib khususnya Majlis Daerah Kerian yang bertanggungjawab menjaganya. Ini seterusnya dapat memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna yang menggunakannya.


Kerusi menunggu yang tidak di selenggara kebersihan


Longkang yang tidak dibersihkan boleng mengundang banjir kilat


rekahan jelas kelihatan

Monday, February 21, 2011

Himpunan 30 Ribu Pemuda


Pemuda PAS Parit Buntar telah menghantar 100 orang pemuda bagi menghadiri Himpunan 30,000 Pemuda PAS yang dianjurkan oleh Pemuda PAS Pusat yang bertempat di Kompleks PAS Kedah, Simpang Empat Alor Setar. Sebanyak 2 buah bas dan beberapa buah kereta telah bersama-sama menuju ke destinasi tersebut.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, rombongan daripada Pemuda PAS Parit Buntar ini dihimpunkan daripada beberapa cawangan di sini. "Mereka yang pergi ke program Himpunan 30,000 ini merupakan petugas yang akan bekerja untuk menghadapi pilihanraya tidak lama lagi. Justeru kami ingin semarakkan semangat mereka dengan hadir ke program ini" katanya lagi.

Pemuda Parit Buntar begitu bersemangat melihat puluhan ribu Pemuda PAS dari seluruh negara yang hadir. Program bermula dengan ucapan pimpinan bekas ketua pemuda pusat seperti Mohammad Sabu, Salahudin Ayub, Abu Bakar Chik dan lain-lain lagi. Program yang bermula pagi hingga petang itu turut menampilkan persembahan daripada Bob Lokman, Radhi Melissa, Pak Long dan ramai lagi.

'Insya Allah semarak kebangkitan program tersebut akan kami bawa ke Parit Buntar sebagai mempersiapkan jentera pilihanraya PAS. Selepas ini kita akan merancang akan mengadakan program yang besar di Parit Buntar bagi menghimpunkan seramai mungkin pemuda PAS di Parit Buntar. Kita sasarkan 1000 pemuda untuk sedia bertugas dengan PAS pada pilihanraya yang semakin hampir ini." katanya lagi.




















































Tuesday, February 1, 2011


Parit Buntar - Sempena Tahun Baru Cina tahun ini, ahli parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mengambil peluang bertemu rakyat khususnya kaum Tionghua bagi mengucapkan selamat tahun baru kepada mereka. Di Pekan Parit Buntar, beliau bersama rombongan iaitu Jawatankuasa PAS Kawasan serta Dewan Muslimat seramai 10 orang telah bertemu masyarakat Cina dengan menyampaikan buah limau tanda ingatan kepada mereka. Turut sama dalam rombongan adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Abdul Baharin Mat Desa dan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar, Teoh Bak Chua.
Penduduk di sini menyambut baik kehadiran wakil rakyat mereka dengan senyuman tanda gembira kerana mereka terharu di atas keprihatinan melawat mereka sambil mengucapkan ucapan selamat tahun baru. Dr Mujahid dan rombongan memperuntukkan masa kira-kira dua jam menziarahi mereka di sini.

Pada keesokan harinya pula Dr Mujahid telah ke Kuala Kurau dan Tanjung Piandang untuk menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Tionghua miskin di sana. Beliau bersama ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari serta Yang Dipertua PAS Kawasan, Harun Hashim menyampaikan barangan keperluan hari raya serta angpau. Kira-kira 100 orang menerima bantuan tersebut. Program ini telah berlangsung di Persatuan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.

Turut sama hadir dalam majlis penyampaian sumbangan ini adalah Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad, Jawatankuasa PKR Cabang Parit Buntar serta pimpinan DAP Parit Buntar.






Pemuda PAS Ucap Selamat tahun Baru Cina

Parit Buntar - Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua di kawasan Parit Buntar. Menurut Ketua Penerangannya, Hairul Nizam Ishak, Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang terbesar untuk masyarakat Tionghua dan Dewan Pemuda PAS bersama ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar mengucapkan pulang anak perantauan yang pulang ke kampung-kampung bertemu sanak saudara.

Pereratkanlah hubungan sesama keluarga, sayangilah ibubapa di kampung halaman semoga perayaan tahun arnab kali ini memberikan suasana kegembiraan dan keharmonian kepada anda semua. Beliau turut merakamkan setinggi terima kasih di atas sokongan masyarakat Tionghua kepada PAS serta Pakatan Rakyat. Sesungguhnya, hubungan yang terjalin di antara PAS bersama masyarakat Tionghua akan terus kukuh dalam memelihara keharmonian serta semangat setiakawan. Semarakkan tahun baru ini dengan membawa perubahan kepada yang lebih baik.

Wednesday, January 19, 2011

Pesta Pancing 'Orang Muda Geng Kita' Meriah



Parit Haji Ali - Pesta Pancing "Orang Muda Geng Kita" begitu meriah dengan kehadiran penduduk tempatan yang begitu ramai hadir ke program tersebut. Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, pesta pancing parit tali air yang pertama kali dianjurkan oleh pemuda PAS dengan kerjasama PAS Cawangan Parit Haji Ali telah berjaya menggamit lebih 150 penyertaan terdiri daripada golongan kanak-kanak hinggalah golongan warga emas.

Kampung Parit Haji Ali seolah-olah berpesta dengan orang ramai memenuhi segenap ruang tebing parit yang menjadi lokasi pertandingan. Ada penduduk tempatan mengambil peluang membuka gerai makanan dan minuman bagi menambahkan pendapatan sampingan mereka. Disamping acara memancing, pengunjung juga berpeluang untuk mendaftar sebagai pemilih atau pengundi di kaunter yang dibuka oleh wakil SPR daripada PAS.

Siti Hajar Said ,45 muncul johan setelah berjaya memancing ikan keli seberat 565 gram. Beliau membawa pulang hadiah utama bernilai RM300.00. Disamping hadiah utama, terdapat 20 hadiah cabutan bertuah menjadi rebutan yang menyebabkan para peserta menunggu hingga akhir acara penyampaian hadiah.Hadiah disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Khairulzami Mohamad. Turut hadir menyaksikan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.











Monday, January 17, 2011

Pemuda PAS Terus Pergiatkan Kebajikan Rakyat






Parit Buntar - Sempena menyambut tahun 2011 baru-baru ini Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar terus mempergiatkan gerakkerja kebajikan dengan mengadakan jelajah kebajikan rakyat. Menurut Ketua Penerangannya, Hairul Nizam Ishak seramai 10 orang Jawatankuasa Pemuda PAS Parit Buntar telah turun padang untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan.

Rombongan sebanyak tiga buah kereta ini telah menjelajah ke lima buah cawangan di kawasan Parlimen Parit Buntar. Jelajah dimulakan dari Taman Kerian Tambahan dan kemudian ke Taman Kerian Fasa Satu. Selepas itu rombongan ini terus ke Parit T
ok Ngah, Parit Mat Ali dan Parit Haji Ali di Kuala Kurau. Seramai 15 orang telah menerima bantuan ini dan kebanyakan dari mereka merupakan pesawah yang berpendapatan rendah. Kegembiraan diwajah penerima jelas terpancar dengan kehadiran pemuda PAS ini. Mereka berasa terharu di atas sumbangan barangan dapur yang dihulurkan itu.

Hairul Nizam yang juga Setiausaha kepada Ahli Parlimen Parit Buntar akan mengambil tindakan segera untuk membuat laporan ke atas Jabatan Kebajikan Mas
yarakat (JKM) bagi mereka yang begitu daif tinggal di dalam rumah yang usang dan membahayakan, khususnya warga emas. "Ada juga dikalangan mereka yang sudah memohon di JKM dan Baitulmal, namun belum ada bantuan yang diterima. Kita akan pastikan permohonan mereka ini untuk mendapat bantuan boleh disegerakan," katanya lagi.





Friday, January 14, 2011

Kejohanan Pesta Bola 'Orang Muda Geng Kita'

Parit Buntar - Dewan Pemuda PAS Parit Buntar dengan kerjasama Kelab Bolasepak Muhibbah akan mengadakan Kejohanan Pesta Bola "Orang Muda Geng Kita", terbuka liga sembilan sebelah yang akan diadakan pada 3 Februari 2011 di Padang Bandaran Parit Buntar dan Padang Bandaran Bandar Baharu, Kedah.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, tujuan program ini adalah untuk memupuk budaya yang sihat dalam sukan bolasepak apatah lagi pasukan negara kini mendapat tempat dihati peminat bolasepak tempatan setelah menjuarai AFF Suzuki, bulan lalu. Justeru Pemuda PAS serta Kelab Bolasepak Muhibbah ingin terus semarakkan semangat anak-anak muda menyertai kejohanan ini.

Juara bakal merebut RM3,000.00 berserta jersi dan piala iringan, manakala tempat kedua RM 2,000.00. Pasukan ketiga dan keempat layak membawa pulang RM 700.00. Mereka juga bakal membawa pulang hadiah iringan istimewa. Sumbangan penyertaan adalah sebanyak RM 300.00 setiap pasukan. Hadiah kejohanan bakal disampaikan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ia terhad kepada 40 pasukan sahaja. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 28 Januari 2011 dan keterangan lanjut sila hubungi Zaihidi (012-4557593) atau Shahrin (017-5681454). Borang juga boleh didapati di Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar atau dimuat turun pada link di bawah:

Borang muka1, borang muka2