Tuesday, November 30, 2010

Mufti Perak dituntut buat penjelasan tegas

PARIT BUNTAR : Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dituntut memberi penjelasan secara rasmi berhubung dua kenyataan berbeza beliau mengenai upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurazi Haji Khalid berkata, Kenyataan secara rasmi penting agar kekeliruan yang tercetus akibat majlis tersebut akan mendapat penjelasan yang tegas.

“ Upacara menepung tawar pada mulanya dikatakan sebagai perbuatan khurafat oleh Tan Sri Harussani Zakaria dan kenyataan ini boleh diikuti didalam akhbar Sinar Harian 7 November 2010.

“ Tetapi, pada 10 November 2010 pula, akhbar Berita Harian menyiarkan kenyataan Mufti Perak itu yang mengatakan bahawa perbuatan Dato’ Seri Zambry itu tidak syirik dan khurafat” katanya

Fakhrurrazi berkata, penjelasan rasmi itu juga penting bagi menyelamatkan akidah umat Islam yang selama ini menjadi keliru kembali kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh pemimpin nombor satu negeri yang memegang bidang kuasa agama Islam.

“ Walaupun Dato’ Seri Zambry mendakwa tidak mempunyai niat melakukan perkara itu dan tidak mengetahui majlis berkenaan yang diatur penduduk boleh membawa kepada unsur syirik.

“Ini juga seolah-olah mencerminkan bahawa majlis khurafat seumpama ini masih subur malah cuba dihidupkan kembali di Negeri Perak ini. Syariat Islam secara jelas tidak sesekali membenarkan majlis tersebut untuk diamalkan dalam masyarakat Islam “ katanya

Beliau juga musykil, bagaimana aktiviti program tersebut berada di luar pengetahuan Datuk Seri Zambry kerana setiap program-program yang akan dihadiri oleh mana-mana pimpinan kerajaan negeri sudah tentu pegawai-pegawainya mendapatkan maklum balas setiap aturcara yang akan diadakan.

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berharap Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga mengadakan pertemuan dengan Dato’ Seri Nizar Jamauddin bagi mendapat penjelasan terus berhubung tindakan beliau yang memegang lilin selepas Sidang Akhbar berkaitan kematian Teoh beng Hock.

“ Sekiranya Tan Sri Harussani boleh bertemu Dato’ Seri Zambry , sepatutnya beliau juga boleh bertemu Dato’ Seri Nizar bagi mendapatkan penjelasan terus.

“ Tindakan ini amat tepat bagi mendapatkan kenyataan yang lebih bersifat adil berdasarkan keadaan yang sebenar” katanya

Adnan berkata, Tan Sri Harussani akan dilihat tidak adil dengan hanya berpandukan kepada gambar semata-mata membuat kenyataan bahawa tindakan memegang lilin oleh Dato’ Seri Nizar sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah satu perbuatan haram di sisi agama.

Monday, November 29, 2010

Pemuda Perlu Diberi Ruang Jadi Calon



Parit Buntar - Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak menyokong penuh kenyataan Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Salman Saleh yang mahukan ramai calon daripada sayap kanan parti itu untuk mewakili PAS dalam pilihanraya umum yang akan datang. Menurutnya Pemuda PAS mempunyai ramai calon-calon bawah 40 tahun yang layak bertanding dalam pilihanraya.

Sebelum ini pun sudah ada calon daripada pemuda seperti Mohd Nazri Din dari Kubu Gajah, Muhammad Ismi Mohd Taib (Blanja) dan Radzi Zainon (Sungai Rapat) yang mewakili PAS dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu. Seharusnya Badan Perhubungan PAS Perak memberi ruang yang seluasnya kepada pemuda yang layak sebagai calon. Kini anak-anak muda di seluruh negara mahukan pembaharuan dengan wakil rakyat di kalangan orang muda kerana wakil rakyat ini lebih segar, agresif, pantas bertindak dan memahami kehendak semasa. Sekarang ini kita melihat pemimpin muda dalam Pakatan Rakyat di Parlimen begitu menonjol seperti YB Mohd Nasir Zakaria (Pas/Padang Terap), YB Yusmadi Yusof (PKR/Balik Pulau) dan YB Nga Kor Ming (DAP/Taiping).

Ramai dikalangan pemimpin pemuda PAS Perak yang boleh disenaraikan. Ada dikalangan mereka merupakan pensyarah, peguam, ustaz, ahli perniagaan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi membawa suara dan menjaga kebajikan rakyat. Kita bukannya hendak menidakkan keupayaan golongan veteran yang sudah lama dalam PAS sebagai calon, akan tetapi Badan Perhubungan PAS Perak perlu relevan dan membuka mata memberi ruang sekurang-kurangnya 10 kerusi calon pemuda untuk pilihanraya akan datang. Kita tidak sepatutnya jadi seperti UMNO yang hanya memilih pemimpin tertinggi bahagian sahaja sebagai calon manakala pemuda terpaksa berhempas pulas menjadi pemimpin bahagian untuk menjadi calon pilihanraya.

Blogger pro Umno diminta sahut cabaran debat

PARIT BUNTAR : PAS Parit Buntar menyokong usaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) untuk berdebat secara terbuka dengan semua pengendali laman web atau blogger pro Umno BN.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, hanya melalui debat terbukalah peluang blogger pro Umno untuk menyokong tindakan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu.

“ Blogger pro Umno perlu berani berdepan di atas satu pentas untuk mengemukakan hujah-hujah mereka .

“ Sesiapapun boleh memberikan hujah satu hala, namun kebenaran hujah itu boleh dipersoalkan. Berdebat atas satu pentas adalah lebih matang lagi bersifat professional” katanya

Fakhrurrazi berkata, sekiranya blogger pro Umno tidak boleh menerima dakwaan Dewan Pemuda PAS Perak , sepatutnya mereka menerima cabaran debat bagi membersihkan nama baik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“ Anggapan pihak tertentu, debat itu tidak akan menyelesaikan masalah adalah salah kerana kebenaran itu dinilai melalui hujah kedua-dua pihak.

“ Rakyat boleh memutuskan sama ada hujah itu benar atau salah melalui kekuatan berhujah. Blogger pro Umno perlu berani berhadapan dengan rakyat, bukan hanya berani di hadapan komputer “ katanya

Sementara itu Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman menyifatkan cabaran Dewan Pemuda PAS Perak itu sebagai terkehadapan dan mengharapkan blogger pro Umno menerima hasrat tersebut untuk melangkah ke kancah pembukaan minda dan wacana ke arah politik baru.

“ Malah, dengan langkah mengadakan debat dan perbincangan, khususnya secara terbuka bukan lagi persoalan baru.

“ Memandangkan pernah berlaku ketika debat Palestin antara Almarhum Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor bersama Tun Mahathir, dan debat minyak antara Shaberry Chik dan Anwar Ibrahim” katanya

Adnan juga berpendapat jika blogger pro Umno benar-benar ikhlas, cabaran Dewan Pemuda PAS Perak wajar dipersetujui, khususnya dalam membuktikan kebenaran hujah-hujah mereka.

Turun ke jalan raya jalan terbaik desak SPR


PARIT BUNTAR : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar menyokong saranan Dewan Pemuda PAS Pusat supaya parti politik mengambil alih peranan menganjurkan demonstrasi setelah BERSIH 2.0 tidak lagi berhasrat mengadakan demontrasi.

Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, demontrasi masih merupakan jalan yang berkesan bagi menyampaikan tuntutan terhadap pilihan raya yang bersih dan adil.


“ Kita menghormati hasrat BERSIH 2.0 untuk tidak lagi turun ke jalanan bagi mencapai matlamatnya.

“ Namun selalunya, SPR tidak melayan banyak tuntutan untuk melaksanakan pilihanraya adil dan telus. Himpunan rakyat di jalan raya adalah jalan terbaik jika SPR tidak melayan tuntutan rakyat” katanya

Adnan berkata, SPR masih belum memenuhi tiga tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) yang lalu.

“ BERSIH telah menuntut pembersihan daftar pemilih, pemansuhan undi Pos dan penggunaan dakwat kekal.

“ SPR bukan sahaja tidak memenuhi tuntutan BERSIH, malah SPR bertindak menambah jumlah pengundi pos dengan menukarkan status pengundi awam isteri anggota keselamatan kepada pengundi pos” katanya

Menurutnya, tindakan SPR ini dilakukan tanpa kerelaan isteri anggota keselamatan terlibat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar Hairul Nizam Ishak mencadangkan PAS mengetuai gerakan menuntut pilihanraya bersih dan adil yang melibatkan parti politik.

“ PAS mempunyai banyak pengalaman mengetuai dan menghimpunkan rakyat menuntut keadilan.

“ Himpunan 100 ribu BERSIH, himpunan membantah PPSMI dan membantah kenaikan harga minyak adalah bukti peranan aktif PAS mengerakkan rakyat” katanya

Beliau berkata, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bersama-sama berganding bahu menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

“ Parti politik terutamanya dalam Pakatan Rakyat tidak boleh hanya mengharapkan BERSIH 2.0 menggerakkan usaha menuntut reformasi pilihanraya yang bersih dan adil.
“ Walaupun BERSIH 2.0 menggunakan pendekatan tidak kepartian, Pakatan Rakyat pula menggunakan pendekatan sebagai parti politik. Namun, matlamatnya sama menuntut pilihanraya bersih dan adil” katanya

Hari Anugerah Kecemerlangan PASTI Parit Buntar disambut meriah


PARIT BUNTAR : Hari Anugerah PASTI kawasan Parit Buntar tahun ini disambut meriah apabila 120 pelajarnya dari sembilan buah PASTI di seluruh kawasan Parit Buntar menerima hadiah kecemerlangan.

Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad berkata, majlis yang diadakan di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain, Titi Serong ini merupakan hari anugerah kecemerlangan kali ke 13 dan pada tahun ini lebih 100 pelajar menamatkan pengajian mereka di PASTI untuk melanjutkan pelajaran diperingkat sekolah rendah.

" Hari anugerah ini telah dirasmikan oleh Ustaz Marul Hairi Mokhtar yang merupakan Timbalan Pengarah PASTI Negeri Perak. Di dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa PASTI merupakan pusat asuhan yang terbaik dengan menampilkan bidang pengajian berunsurkan tarbiyah dan kokurikulum.

" Anak-anak ini didedahkan dengan hal ehwal aqidah, rohani, akhlak, intelek dan jasmani. Dalam masa yang sama mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Al-Quran juga diajar untuk mereka " katanya

Menurut Khairulzami, majlis dimulakan dengan perarakan masuk graduan enam tahun. Anak-anak PASTI juga menyampaikan persembahan nasyid dan alunan zikir munajat serta Asma'Ul Husna.

" Pada tahun ini pelajar terbaik lima tahun disandang oleh adik Dania Syauqina Ahza Muhamad Razia dari PASTI Al Munir, Taman Murni.

" Manakala adik Intisya' Adnin Zulaikha Mohd Suhaidi dari PASTI An Nur, Taman Kerian Permai diisytihar sebagai pelajar terbaik keseluruhan enam tahun" katanya

Khairulzami berkata, PASTI di Parit Buntar juga merupakan pusat asuhan yang aktif dengan aktiviti kokurikulum.

" Pada tahun ini, PASTI Parit Buntar telah menjadi johan pertandingan bola jaring PASTI negeri Perak, manakala pasukan bola sepak menjadi naib johan negeri Perak." katanya

Turut hadir sama dalam majlis gemilang ini adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Harun Hashim dan beberapa pimpinan PAS Parit Buntar.

Tambah Khairulzami, pendaftaran baru untuk pelajar PASTI bagi umur empat hingga enam tahun sudah dibuka untuk tahun 2011. Ibu bapa kanak-kanak yang berminat boleh menghubungi guru PASTI yang berhampiran.
Anak-anak PASTI menyampaikan alunan zikir munajat
Sebahagian dari ibu bapa yang hadir ke hari anugerah
Nyanyian nasyid dari graduan enam tahun

Monday, November 8, 2010

PERKASAKAN JENTERA PILIHANRAYA & WAKIL RAKYAT

PERKASAKAN JENTERA PILIHANRAYA & WAKIL RAKYAT

Parit Buntar – Keputusan kekalahan Pakatan Rakyat di Pilihanraya Kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi menunjukkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat perlu melipatgandakan usaha bagi menghadapi pilihanraya umum (PRU) ke 13 yang akan datang.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak kekalahan Pakatan Rakyat di kedua-dua kerusi tersebut menunjukkan bahawa masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki oleh jentera parti. PAS tidak seharusnya 100% menuding jari pada penyelewengan jentera kerajaan yang dipergunakan sepenuhnya oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Itu sudah menjadi kelaziman UMNO/BN menyalahgunakan kuasa jentera kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, KESEDAR dan pelbagai jabatan lain serta janji-janji manis yang menarik minat pengundi. Walaupun begitu UMNO/BN tetap menjalankan kerja menambah pengundi baru di kawasan tersebut.

Apa yang pasti sekarang PAS dan Pakatan Rakyat perlu memperkasakan gerakkerja parti terutamanya menambah daftar pengundi baru. Dilaporkan ratusan ribu pengundi di seluruh negara yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih. Gerakerja yang kuat namun kalau tiada pertambahan pengundi tiada gunanya kerana inilah penentu kemenangan calon.

Disamping itu, rakyat mesti seringkali disegarkan dengan diingatkan tentang penyelewengan serta kezaliman UMNO/BN. Isu seperti rampasan kuasa di Perak, masalah penyelewengan Felda, isu masyarakat India seperti kad pengenalan, daftar kelahiran dan banyak lagi terutamanya yang babitkan kebajikan rakyat. Kelekaan serta kurang prihatinnya PR dalam menjuarai isu rakyat akan diatasi segera oleh UMNO/BN yang sememangnya mencari peluang mengambil hati pengundi.

Wakil rakyat Pakatan Rakyat yang sedia ada perlu turun padang melihat kesusahan yang dihadapi rakyat serta keperluan-keperluan yang boleh dibantu walaupun peruntukan dinafikan oleh kerajaan sekarang. Rakyat kini tahu dan boleh menilai prestasi wakil rakyat. Janganlah disaat akhir semboyan pilihanraya sudah berbunyi baru hendak mencari simpati pengundi. Jentera pilihanraya yang kuat juga tidak berguna lagi.

Sehubungan dengan itu PAS Kawasan Parit Buntar bersama-sama jentera Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat telah memulakan gerak gempur daftar pemilih bagi pengundi baru di DUN Titi Serong dan DUN Kuala Kurau. Gerak gempur ini yang telah dilaksankan dua kali pada setiap hari Ahad akan diteruskan sehingga tarikh pengumuman PRU ke 13.

Dalam gerak gempur ini Jentera Pilihanraya PAS Parit Buntar mengembling tenaga turun ke cawangan-cawangan bagi mencari pengundi baru untuk didaftarkan sebagai pemilih. Hasilnya dalam dua kali perlaksanaan gerak gempur ini, lebih dari dua ratus pengundi baru Berjaya dikesan adan didaftarkan sebagai pemilih. Menurut Naib YDP Pt. Buntar Sdr Bahrin sesaran pengundi baru ialah dikalangan anak dan keluarga ahli dan penyokong PAS.


Jentera Muslimat tabah meyusuri jalan kampung bagi mendapatkan pengundi baru


Petugas dari jentera Pemuda sedang mendaftarkan pengundi baru


Dibantu oleh JPC bagi mengesan pengundi muda yang belum berdaftar


Bertanya kepada penduduk setempat samada sudah berdaftar atau belum sebagai pemilih.


Mendaftar pemilih baru


Mendaftar pemilih baru


Mendaftar pemilih baru


Sdr. Bahrin menyemak dan mengira jumlah pengundi baru yang didaftarkan


Menjamu selera setalah penat berjalan sepanjang hari


Walaupun berbaju umno tetapi penyokong PAS tegar

Deepavali : Sumbangan Buat Masyarakat India

Parit Buntar - Sambutan Deepavali tahun ini disambut gembira oleh 30 orang masyarakat India miskin apabila mereka mendapat sumbangan daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Parit Buntar dan PAS Kawasan Parit Buntar. Bantuan keperluan dapur dan wang tunai dihulurkan bagi melihat rakyat yang tidak berkemampuan ini bergembira menyambut Deepavali.


Menurut Setiausaha Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, seramai 30 orang telah dipilih dari sekitar Parit Buntar dengan tujuan meringankan beban masyarakat India yang miskin sekaligus menggunakannya bagi menyambut perayaan Deepavali.


Rombongan kami menjelajah dari rumah ke rumah bermula di Taman Seri Semarak hinggalah ke Pekan Baru. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa serta Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Parit Buntar, Ahad Azhar Sharin.


Turut serta dalam program adalah wakil PAS untuk masyarakat India Aihean A/L Murugan, Rajeswaran A/L Thasabant, Pegawai Khas Parlimen Hamdan Fadel Ahmad serta wakil PAS untuk masyarakat Cina Teoh Bak Chua. Menurut Aihean, pihak kami telah memilih masyarakat India yang benar-benar memerlukan dan saya bagi pihak masyarakat India mengucapkan terima kasih pada pihak PAS kerana sudi membantu masyarakat India di sini untuk sambut Deepavali. Walaupun peruntukan wakil rakyat dinafikan, namun mereka tetap membantu kami.

Melalui siri jelajah sumbangan ini juga pihak Pusat Khidmat Parlimen telah diberitahu masih ada dikalangan anak-anak penerima sumbangan yang masih tidak didaftarkan kelahiran mereka serta keadaan mereka yang memerlukan bantuan kebajikan. Justeru pihak Pusat Khidmat Parlimen akan mengambil tindakan segera bagi membantu masalah mereka ini.




DPPKPB Meneruskan Ziarah Kebajikan



Parit Buntar, 6 November : Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar (DPPKPB) hari ini meneruskan Ziarah Kebajikan seperti yang dilaksankan pada bulan Ramadhan dan Syawal yang lepas. Program turun padang serta ziarah ini adalah program rutin yang sentiasa di lakukan oleh DPPKPB.

Menurut Ketua Lajnah Kebajikan DPPKPB Sdr. Noraidi, Pemuda PAS Parit Buntar sentiasa mendekati golongan yang kurang bernasib baik dan akan cuba membantu sedaya upaya meringankan beban Rakyat sekitar Kawasan Parit Buntar.

"Kita melalalui negera berkebajikan akan meneruskan usaha membantu golongan yang susah tidak kira masa waktu. Ini adalah kerana usaha ini di sukai oleh Allah SWT dan Rasullullah dimana tangan yang diatas lebih baik dari tangan yang dibawah" Noraidi

Menurut beliau rombongan yang diketuai oleh Ketua Pemuda sendiri iaitu Khairuzami dan tujuh AJK kali ini turun ke lima cawangan dan melibatkan tujuh belas penerima sumbangan. DPPKPB bukan sahaja memberi sumbangan berupa keperluan harian malah DPPKPB juga dengan kemampuan yang ada menyampaikan bantuan kerusi roda dan tongkat kepada OKU.

"DPPKPB akan cuba membantu sedaya mungkin dengan menyampaikan keperluan yang amat-amat diperlukan. Contohnya kita telah menyerahkan sebuah kerusi roda kepada seorang pesakit yang tidak dapat berjalan dengan sempurna" Berkata Noraidi.

Dalam menjayakan program kebajikan ini Ketua Pemuda PAS Parit Buntar menyeru sesiapa yang berhajat untuk meyumbangkan tidak kira dalam apa jua bentuk boleh lah berhubung dengan AJK DPPKPB Sdr. Nizam di Pejabat PAS jalan Keli.




Kerusi roda yang disumbangkan oleh DPPKPB


Meredah kampung demi mebela Rakyat


warga emas yang di ziarahi dan diberi sumbangan


JK Cawangan turut membantu menunjukkan jalan ke rumah penerima


Ketua Laj. Kebajikan Sdr Noraidi menyampaikan tongkat


Adik ini sedang bermain dengan 'kabota' (Mesin penggembur tanah bendang)