Sunday, June 5, 2011

Pasti Perak kedua terbaik

PARIT BUNTAR : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar mengucapkan tahniah kepada Pasti Negeri Perak kerana menduduki tempat kedua anugerah Pasti terbaik di Malaysia selepas Pasti Negeri Selangor. Anugerah tersebut disampaikan kepada Ketua Pemuda PAS Perak Zawawi Hassan sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat yang berlangsung di Shah Alam.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar Ahmad Fairus Muhammad berharap anugerah tersebut menjadi pemangkin semangat kepada pengurusan Pasti Negeri Perak untuk meningkatkan prestasi pada masa hadapan.

" Anugerah yang begitu bermakna ini sebagai bukti komitmen dan usaha bersungguh-sungguh jawatankuasa pengurusan dan guru-guru Pasti di Perak memberikan khidmat yang terbaik.

" Anugerah ini datang dengan tanggungjawab agar Pasti - Pasti di Perak khususnya termasuk Pasti Parit Buntar melipatgandakan usaha untuk memberi perkhidmatan dan penyampaian yang terbaik, setanding dengan permintaan daripada masyarakat umum" katanya

Ahmad Fairus berkata, jawatankuasa dan guru-guru Pasti di Perak telah berjaya menjadikan Pasti sebagai pusat asuhan yang terbaik dengan menampilkan bidang pengajian berunsurkan tarbiyah dan kokurikulum.

" Kurikulum Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) adalah yang terbaik berbanding tadika dan kelas pra sekolah yang lain. Malah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Pasti kerana yakin anak-anak mendapat didikan agama dan akademik yang seimbang.
'' Kurikulum yang disediakan oleh Pasti amat bertepatan dengan saranan pendidikan awal anak-anak untuk mengenal Allah. Di samping itu, kajian juga telah membuktikan bahawa murid-murid lepasan Pasti menjadi murid yang cemerlang semasa mereka berada di sekolah rendah" katanya

Tambahnya, tanggungjawab guru-guru Pasti kini semakin besar kerana mendidik anak-anak yang terpaksa berhadapan dengan perkara-perkara melalaikan di persekitaran mereka.

" Program-program televisyen umpamanya banyak yang menyajikan rancangan melalaikan dan akan memadamkan didikan agama yang telah disemai semasa berada di Pasti.

" Oleh itu, saya juga menyeru para ibu bapa supaya dapat mengawal aktiviti anak-anak agar jiwa mereka sentiasa berada dalam keadaan yang baik" katanya

No comments:

Post a Comment